Hari itu hari Ahad. Hari cuti untuk seisi keluarga. Aku seperti biasa, memilih untuk bangun lambat sedikit berbanding dengan lima atau enam hari-hari yang lain dalam seminggu. Sebaik terjaga dari tidur, aku terus ke dapur untuk membuka tudung saji mencari apa yang boleh diisi ke dalam perut. Ada satu jag teh tarik yang masih panas dan beberapa bungkus nasi lemak yang mungkin dibeli dari gerai Mak Tam di tepi perhentian bas.
Ayah pagi-pagi lagi sudah menghilangkan diri. Aku sudah dapat menduga, dia setentunya kini sedang menghabiskan beberapa pusing larian di taman tasik berdekatan. Orang tua lelaki itu memang sibuk melibatkan diri dalam aktiviti yang menyihatkan tubuh badan sejak akhir-akhir ini. Khabarnya dia juga sudah mula merenggangkan diri dengan rokok setelah bertahun-tahun menjadi hamba kepada benda perosak itu. Dan sebagai anak yang sentiasa mendoakan kesihatan ibu bapanya, aku berbangga dengan keputusan yang dibuat.
Mak pula, menjalani tanggungjawab menjadi seorang ibu dan isteri, sudah turut sama hilang dari pandangan mata. Mengikut firasat aku, dia sedang berkumpul dengan para ibu yang lain di hadapan rumah Adi Husin kerana di situ lori Ah Yong akan berhenti untuk menjual sayur-sayuran dan barang dapurnya.
Selepas bersarapan, aku ke belakang rumah untuk mengambil tuala yang tersangkut di atas penyidai baju. Kenzo, anak anjing jenis Maltese kesayangan jiran di sebelah rumah yang sibuk menyalak dengan suara halusnya tidak langsung aku hiraukan. Dia memang begitu. Gemar menyalakkan sesiapa yang saja tidak dikenali walaupun sudah bertahun-tahun kami sekeluarga menetap di situ.
Aku melangkah masuk dan terus ke ruang tamu. Televisyen masih menyala walau tiada siapa yang menonton. Kemudian, aku beralih ke dapur. Sunyi sepi. Mak masih berbual dengan “surirumah terdesak” yang lain, rungut hatiku. Mata menjeling pula ke arah jarum jam di dinding. Sebelas pagi dan Ayah masih juga belum pulang. Aku makin bengang dan kaki terus melangkah ke bilik air tidak lama selepas itu.
Sepuluh minit kemudian, aku selesai menyucikan diri. Dengan bertuala saja, aku meluru ke ruang tamu semula. Keadaan di situ masih lagi sama seperti tadi. TV yang menyala akhirnya aku padamkan. Aku duduk sebentar di atas sofa. Menunggu. Lima minit. Sepuluh minit. Lima belas minit masa berlalu, akhirnya aku kembali ke dalam bilik. Hampa.
Di dalam bilik, aku buka pintu almari luas-luas. Aku capai baju kemeja T warna hijau pekat dengan logo Superman di dadanya. Dipadankan pula dengan seluar pendek paras lutut warna krim. Aku raba di dalam saku seluar pendek itu untuk mencari sesuatu. Usahaku tidak membuahkan hasil apabila aku hanya terjumpa gumpalan habuk yang terkumpul kesan dari cucian dari mesin basuh. Selesai menyarungkan pakaian itu ke tubuh, aku berdiri di balik pintu dan mula menyelak saku setiap satu seluar dan baju yang tergantung di situ.
Saku pada dua helai seluar jeans kosong tidak berisi. Saku baju sekolah hanya mengandungi siling sepuluh sen yang tersorok di celah lipatan kalendar kecil. Tangan dan mata memeriksa pula saku pada seluar sekolah. Ada siling dua puluh lima sen di dalam saku depan sebelah kanan, lima belas sen pada saku depan sebelah kiri, beberapa keping tiket bas lama dan nota buruk pada saku belakang kiri, dan dompet kosong di dalam saku belakang sebelah kanan.
Aku lantas teringat kata-kata Ayah. Sebaik-baik ucapan untuk memenangi hati seseorang ialah ucapan terima kasih. Kata Mak pula, jika mahu ucapan terima kasih itu istimewa ianya hendaklah ditulis di dalam sekeping kad yang cantik. Aku ambil kata-kata azimat mereka berdua itu untuk dipertimbangkan tetapi setakat ini aku hanya lima puluh sen saja yang berjaya dikumpul. Aku perlukan sekurang-kurangnya dua ringgit untuk membeli kad ucapan terima kasih yang dijual di kedai buku Nana Chantek sebelah pasaraya Yin Yang itu.
Bunyi hentakan daun pintu yang kuat membuat aku teruja untuk melihat siapa yang pulang. Dengan sepantas kilat, aku berlari menuju ke ruang tamu. Aku hampa lagi. Tiada bayang mahupun batang hidung mana-mana manusia yang kelihatan. Mungkin angin kuat yang menolak daun pintu dapur yang ternganga tadi, tekaku. Hatiku bertukar marah. Aku memeluk tubuh dan menunggu kepulangan ibu bapaku di situ.
Bagaikan terpanggil dengan doa yang dipohon, tiba-tiba Mak muncul dengan tangan yang penuh. Ayah yang membontoti dari belakang juga turut sama menjinjing barang-barang keperluan rumah. Di tangannya ada satu plastik besar berisi enam gulung kertas tisu, satu plastik berisi sebotol jus oren dan kordial sarsi, dan satu plastik lagi berisi buah-buahan campuran. “Ayah dengan Mak pergi mana? Ah Yong dah ada jual tisu ke sekarang?” Soalku dengan muka yang berkerut. “Alfie tanya ni, tak dengar ke?” Soalku sekali lagi apabila masing-masing seakan-akan tidak ambil peduli. Aku geram. “Mak, Alfie nak duit,” pintaku perlahan sambil merenung tas tangannya di atas meja. Mak hanya mendengus marah. “Ayah, Alfie nak duit!” Aku meninggikan suara, merengek pula kepada orang tua lelakiku itu namun sekali lagi permintaanku tidak dilayan.
Akhirnya aku membuat keputusan sendiri. Aku berlari masuk ke dalam bilik tidur mereka. Katil empuk masih lagi kusut tidak berkemas. Pakaian-pakaian kotor masih lagi berlonggok di dalam bakul. Aku mengintai di balik pintu. Tiada pula pakaian yang tergantung. Bagaikan anjing pengesan, aku mula menghidu. Mata juga pantas berputar ke kiri dan kanan dan akhirnya ia tertumpu kepada dompet kulit Ayah yang elok saja terletak di atas meja kecil di sudut tepi katil. Aku buka dompet tebal warna hitam itu. Ada beberapa keping wang kertas di dalamnya. Seringgit, lima ringgit, sepuluh ringgit, dan akhirnya aku menarik nota lima puluh ringgit keluar.
******************************************************************************
Aku menunggang basikal menuju ke kedai buku Nana Chantek yang terletak di sebelah pasaraya Yin Yang itu. Tidak berapa jauh sangat lokasinya dari rumahku tetapi dengan cuaca yang agak sedikit terik, otakku bagai sengaja mengajar untuk aku jadi malas berjalan. Tiba di satu simpang, aku terlihat Halimatunsaadiah sedang duduk termenung di atas salah satu bongkah simen di situ. Aku memperlahankan kayuhan, melambaikan tangan dan cuba untuk menegurnya tetapi lambaianku itu dibalas dengan wajahnya yang murung. Aku berhenti, “Kau tak apa-apa ke?” Soalku menunjukkan rasa prihatin dan dia cuma menggeleng.
Aku sambung kayuhan kembali terus ke kedai buku itu. Tiba di sana, aku melihat keadaan di dalamnya agak semak dan sempit. Ada beberapa orang pekerja sedang menyusun stok-stok baru yang diterima ke atas rak-rak yang melekat di dinding. Aku berulang-alik mencari kad terima kasih yang ringkas dan cantik yang bersesuaian untuk diberikan kepada seseorang yang cukup istimewa. Setelah sepuluh minit aku di situ menyaksikan pelbagai rupa pelanggan yang datang dan pergi, aku masih tidak dapat membuat keputusan yang tepat. Ada tiga keping kad yang berbeza di tangan. Ketiga-tiganya mempunyai keunikannya yang tersendiri. Satu kad tertulis ayat yang berbunyi, “I would thank you from the bottom of my heart, but for you my heart has no bottom,” satu lagi berkata begini, “No duty is more urgent than that of returning thanks,” dan kad yang terakhir, warna merah jambu, mempunyai lakaran hati dan dua ekor kucing yang sedang bercium berkata, “Saying “thank you” creates love.”
“Cari apa?” Tanya salah seorang pekerja di situ tiba-tiba dengan soalan yang tak masuk akal.
Aku terkejut. “Kad? Awak tak ada jual aiskrim kan?” Soalku kembali, memerli.
“Aiskrim kat pasaraya sebelah.”
Aku tersenyum mendengar jawapan itu. Mata merenung tajam ketiga-tiga kad di tangan dan akhirnya aku memilih kad kucing itu sebagai kad terima kasih istimewa untuk seseorang yang istimewa. Harganya lima ringgit lima puluh sen. Aku tidak menyangka ianya bakal semahal itu. Mujur aku membawa sejumlah wang yang agak besar.
“Banyak duit, ayah tau ke awak bawa duit besar ni?” Tanya pekerja di kaunter pula sambil memeriksa kesahihan wang kertas itu di sebalik mesin kecil yang mengeluarkan sinar biru.
“Ayah yang bagi. Dia suruh beli untuk Mak,” aku berbohong. Cepat-cepat aku rampas wang baki yang diberi dan berlari ke pasaraya di sebelah untuk membeli sebatang aiskrim potong berperisa jagung pula.
Aku kembali menunggang basikal untuk pulang ke rumah. Tiba di simpang yang sama, aku nampak kelibat Halimatunsaadiah masih lagi duduk termenung di situ. Lamunannya jauh, seolah-olah seperti seseorang yang berada di dalam masalah. Aku berhenti mengayuh dan mengambil keputusan untuk berbual dengannya sedikit. “Sorry, ada satu je, nak share?” Aiskrim potong berperisa jagung itu sengaja aku tunjukkan padanya.
“Tak apalah, macam dah nak cair dah tu. Baik kau makan cepat-cepat,” jawabnya perlahan.
Aku bersetuju. Sambil aku leka menjilat aiskrim manis itu, mataku masih sempat lagi merenung ke arahnya yang masih kelihatan muram. “Kau ada masalah ke?”
Dia membetul-betulkan anak rambut yang terkeluar di bucu tudung. “Tak ada apa-apalah, saja aku duduk sini ambil angin,” balasnya serius.
Aku tahu dia berbohong.
“Kau pulak ke mana tadi?” Soalnya kepadaku pula.
“Aku pergi kedai buku Nana Chantek tu. Beli kad terima kasih untuk Norah.”
“Apa yang dia dah buat kat kau sampai kau nak kena bagi dia kad pulak?”
“Macam-macam. Sokongan, dorongan, pertolongan…”
Dia menyampuk, “aku selalu jugak tolong kau dalam kelas tapi tak ada pun dapat kad?”
Aku menelan liur.
Dia menggeleng-gelengkan kepala. “Aku dah agak dah kau memang suka kat dia. Kau tau kan dia dah rapat dengan Bobby sekarang?”
Aku mengangguk.
“Dah tu? Buat apa kau nak kacau? Kau sedar tak, tak baik merampas kebahagiaan orang? Lagipun, no offense ya, aku tak rasa kau ada peluang kalau nak dibandingkan dengan Bobby.”
“Mana kau tau dia bahagia? Mana kau tau hubungan tu bakal kekal sampai bila-bila? Mana kau tau aku tak ada peluang langsung? Sebab aku tak sehensem Bobby? Sebab badan aku kecil? No offense, jangan samakan badan kau yang debab ni dengan kekurangan aku sebab walau aku macam ni pun, aku tetap nak diri aku ni sama macam orang lain.”
“Alfie!” Jeritnya menahan aku dari terus beredar. “Good luck lah atas cita-cita murni kau tu tapi aku cuma nak ingatkan kau satu benda je. Hidup kena realistik. Jangan sesekali kita terlalu yakin sangat dengan apa yang kita nak buat. Jangan jadi macam aku…”
Aku mendengus, “trust me, aku tak akan jadi macam kau tapi terima kasihlah atas kata-kata nasihat kau tu. Esok lusa aku bagi kau kad terima kasih pulak, eh?” Sempat aku menyindir sebelum mencapai kembali basikal yang aku sandarkan pada tiang lampu tadi dan terus memecut laju.
Leave a comment