Feeds:
Posts
Comments

Archive for the ‘BOBBY BIKIN PANAS’ Category

Ulat bulu itu masih lagi menggigit dedaunan hijau yang tumbuh pada ranting kayu buat santapan makan tengaharinya. Aku leka memerhati dia menggigit dan mengunyah daun itu secara tertib dan teratur. Selesai mengunyah, puluhan kakinya yang kecil mengensot perlahan di atas kulit kayu yang kering itu membawa tubuhnya yang besar barangkali untuk pulang ke sarang. Mata masih lagi tekun mengekori ke mana dia pergi. Satu minit, dua minit, tiga minit, kemudian dia baru ghaib dari pandangan, menyelit di celah-celah lubang yang kecil.

Roti sandwich berintikan kepingan keju dan cebisan ayam yang dipotong kecil yang sudah separuh digigit, dibuang ke dalam longgokan daun kering. Selera tiba-tiba mati bila mengenangkan ulat bulu tadi. Masih lagi ternampak di depan mata bagaimana satu ketika dahulu aku mengutip serangga berbisa itu dan memasukkannya ke dalam kasut sukan Bobby. Kerana tindakan kejam aku itu, dia terpaksa direhatkan di rumah untuk beberapa hari.

Sebelum itu, aku juga pernah memberinya roti sandwich berintikan ubat kurus Mak untuk dimakan. Jika dikenangkan, memang bodoh gurauanku itu kerana ianya bagaikan satu insiden yang hampir meragut nyawanya. Seminggu lalu juga dia dikenakan hukuman atas perbuatanku sekali lagi. Masya Allah, selama ini hanya aku saja yang menganggap dirinya jahat. Bibirku dengan mudah menggelarnya syaitan yang bertopengkan manusia atau pembohong, pencuri, perampas, dan segala gelaran buruk yang lain. Tetapi mengapa hati aku yang putih bersih kononnya ini tidak terfikir langsung bahawa aku juga tiada bezanya?

“Jauh termenung, Alfie?” Tegur Pak Abu yang tiba-tiba muncul dengan penyapu lidinya. Aku mendongak memandang lelaki separuh umur itu. Sudah agak lama kami berdua tidak bersua muka. Aku tersenyum mungkin kerana aku rindu padanya. Aku rindu pada tangannya yang kering berkedut, aku juga rindu pada kulitnya yang perang kehitaman, dan aku lebih rindu pada nasihat dan kata-kata yang keluar dari mulutnya atau dsari celah-celah gigi kuningnya yang sudah separuh reput. “Dari tadi Pak Abu perhati Alfie duduk termenung sorang diri, apa yang Alfie fikirkan?”

“Tak ada apa-apalah. Bosan duduk sorang diri bawah pokok ni. Tak kan nak cakap dengan pokok ni, nanti orang kata Alfie gila pulak!”

“Kita hidup ni jangan terlalu fikirkan apa yang orang nak kata. Kita bukannya boleh tutup mulut orang lain, kan? Apa yang kita fikir dan buat tu yang lebih penting. Tapi kita tak boleh juga biarkan saja kata-kata dan tanggapan orang sebab mungkin ianya berguna kepada kita, betul tak?”

Aku mengangguk bersetuju dengan falsafah yang baru didengar.

“Ada dengar berita pasal Bobby?”

Aku menggeleng. Seingat aku sehari selepas kejadian, nama Bobby diumumkan oleh pengetua di hadapan semua pelajar sewaktu perhimpunan. Katanya, “budak malang” itu telah dibuang sekolah sekaligus melenyapkan impiannya untuk beraksi pada sukan tahunan pada hujung minggu ini.

“Kesian. Muda-muda lagi dah dapat rekod buruk macam tu. Bayangkan lepas ni mesti dia susah nak masuk ke sekolah lain. Silap-silap haribulan dia kena masuk sekolah swasta sebab dah tak ada sekolah kerajaan yang nak ambil dia. Sekolah swasta mahal, tau! Kan dah menyusahkan mak bapak…”

“Tak apalah, Pak Abu. Mak bapak dia banyak duit…”

“Pernah dengar cerita lobak, telur, dan kopi?”

“Tak.” Jawabku sepatah.

Pak Abu menanggalkan kasutnya, menyapu bontot dan duduk di atas kasut itu. Dia memulakan ceritanya, “cuba kita letak ketiga-tiga benda ni dalam air panas. Lobak akan jadi lembik, telur akan jadi keras, dan kopi akan terus larut, kan? Sekarang cuba kita gantikan benda-benda tadi dengan diri kita sendiri, pulak.”

“Maksud Pak Abu, masukkan diri kita dalam air panas?”
“Bukan!” Pak Abu ketawa. “Jadikan persekitaran kat sekolah ni sebagai contoh. Alfie jumpa ramai kawan untuk kutip pengalaman tapi apakah kawan-kawan tu semuanya baik-baik? Atau beri kita pengalaman yang berguna?”

Aku mendengar lagi dengan tekun.

“Untuk itu Alfie diberi pilihan sama ada untuk jadi lembik dan biarkan persekitaran mempengaruhi minda, atau berkeras kerana tidak mahu terikut-ikut dengan persekitaran itu, atau Alfie tak peduli. Larut saja dengan arus persekitaran yang ada.”

“Susahlah nak fikir, Pak Abu. Kan Alfie muda lagi jadi kenalah tanya orang yang banyak pengalaman macam Pak Abu.”

Pak Abu ketawa lagi. “Nak minta nasihat Pak Abu boleh, anytime. Tapi Alfie nak dengar ke? Sanggup?”

“Ish, Pak Abu ni. Sejak bila pula Alfie tak pernah dengar nasihat Pak Abu?”

“Betul, sebab Pak Abu tahu Alfie budak yang baik.”

Aku tersenyum kambing selepas mendengar pujian yang diberi.

“Tapi Pak Abu ada satu lagi nasihat untuk Alfie. Alfie nak dengar?”

“Apa dia?”

“Pak Abu nak Alfie pergi jumpa pengetua sekarang dan ceritakan perkara yang sebenar.”

Aku berdiri, menggosok dahi yang berkerut dan memandang lelaki tua itu dengan pelik. “Cerita sebenar apa lagi ni, Pak Abu?”

“Alfie tahu cerita yang sebenar kan? Pak Abu nampak apa yang Alfie buat dalam kelas sorang diri hari tu.”

Aku mula berpeluh, “apa yang Pak Abu cakap ni? Alfie tak fahamlah!”

“Pak Abu nampak masa Alfie buat kerja tu jadi Pak Abu rasa Alfie faham apa yang Pak Abu cakap.”

Aku tergaru-garu kepala yang tiba-tiba gatal.

“Alfie dah buat silap jadi dengarlah nasihat Pak Abu ni. Mengaku dan memperbaiki kesilapan itu lebih baik dari berdiam diri dan menuding jari kepada orang lain. Cuba Alfie fikir baik-baik, kalau tak kerana tuduhan curi tu Bobby tak akan dibuang sekolah dan Norah pun tak akan jadi apa-apa.”

Sudah seminggu aku cuba melupakan peristiwa pelanggaran di tepi jalan itu. Bagiku, segala-gala yang terjadi adalah tidak disengajakan. Jika Norah tidak ditolak oleh Bobby, tidak mungkin dia akan dilanggar kereta. Jika Norah tidak dilanggar kereta, tidak mungkin Bobby akan dibuang sekolah. Dan jika Bobby tidak dibuang sekolah, tidak mungkin aku akan berada di sini. Kerana apa yang pasti, jika semua itu tidak berlaku, aku mungkin sedang terlantar di hospital akibat kecederaan teruk di kepala atau telahpun menemui ajal dan menunggu malaikat tiba untuk dibicarakan. “Semua yang terjadi tu ada sebabnya, Pak Abu,” kataku.

“Iya, Pak Abu faham,” giliran Pak Abu pula yang memicit dahi. “Sebab dia mudah je, Alfie. Alfie dah jadi kopi. Dah turut sama menyumbang air yang jernih menjadi keruh.”

“Ah! Alfie tak fahamlah apa yang Pak Abu cakap. Peninglah!” Aku beredar meninggalkan tukang kebun itu yang
masih tercegat berdiri di situ.

“Alfie! Alfie budak baik kan? Alfie cuma perlu berterus-terang dan mengaku saja. Alfie tak nak tolong Norah? Bobby? Atau sekurang-kurangnya diri sendiri? Percayalah, bukannya susah menjadi orang yang lebih baik!”

Aku memberhentikan langkah, “dah terlambat!”

“Belum. Lagi cepat sesuatu masalah itu dapat diselesaikan, lagi cepat kita dapat memperbaiki kesilapan sendiri. Pak Abu yakin yang Alfie lebih baik dari itu. Alfie boleh buat kan?”

Aku meneruskan langkah menuju ke kelas dan tidak langsung memperdulikan kata-kata nasihatnya.

******************************************************************************

Di dalam kelas, aku banyak termenung dan berfikir. Tiada satupun benda yang diajar oleh guru masuk ke dalam kepala. Otak lebih banyak bermain dengan emosi, mencari baik buruk nasihat yang didengar dan keputusan yang bakal dibuat. Hati tertanya, perlukah aku berterus terang dan mengaku saja kepada pengetua dengan apa sebenarnya yang terjadi? Atau patutkah aku membiarkan saja ianya terus kekal misteri sampai bila-bila?

Aku memejamkan mata. Sepantas kilat itu juga aku dibawa ke situasi yang berlainan. Di mana ketika itu aku berada di tanah perkuburan, sedang menangisi pemergian Norah. Sauna waktu itu cukup hening dan diselubungi dengan kesedihan dari keluarga, sanak saudara, dan rakan yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir. Kedengaran suara lembut Pak Imam membaca talkin mengingatkan arwah tentang amalannya di dunia yang bakal di bawa sekaligus mengingatkan aku juga tentang amalan-amalan buruk yang sudah terlalu banyak aku kerjakan. Aku benar-benar menyesal kerana tidak sempat untuk menceritakan perkara yang sebenar. Kini dia telah pergi. Norah telah pergi. Kerana aku?

Aku kembali membuka mata dan airmata tiba-tiba saja menitis membasahi pipi. Kelopak yang berair kembali ditutup untuk mengelakkan ianya terus berair. Kemudian, aku dibawa pula ke satu suasana yang lain. Keliling aku dipenuhi oleh jaring-jaring besi dan tembok batu yang tinggi. Aku duduk di atas kerusi menanti seseorang dan tanpa diduga Bobby muncul lima minit selepas itu. Aku menghulurkan salam namun salamanku disambut dengan sebuah pelukan yang erat. “Maafkan aku,” ucapnya dengan suara hiba yang singgah di cuping telinga. Aku terharu dengan ucapan maaf itu dan buat pertama kalinya aku benar-benar mempercayai ayat-ayat yang keluar dari bibirnya. “Maafkan aku juga. Kita sama-sama dah buat silap jadi kita sama-sama patut perbaiki kesilapan dan kelemahan kita, OK?” Kami terus berpelukan dan menenangkan perasaan berdosa masing-masing.

“Alfie, tidur ke?” Tegur Encik Azrel dengan wajah yang serius.

“Tak. Cikgu saya nak jumpa pengetua?”

******************************************************************************

“Apa khabar?” Soalku pada Norah yang terbaring kaku di atas katil itu. Matanya tertutup rapat dan bibirnya juga terkunci, tidak langsung mampu untuk melakukan apa-apa. Aku memandang mesin yang masih menyokong degupan jantungnya. Masih berdegup walaupun perlahan. Air mata kekesalan gugur dengan laju melihat keadaannya begitu. Kata doktor, kecederaan di dalam otak akibat hentakan tempohari telah menyebabkan tubuhnya lumpuh sepenuhnya. Kini dia koma dan kemungkinan besar peluangnya untuk kembali pulih seperti dulu amat tipis. “Saya nak minta maaf banyak-banyak dengan awak. Sebenarnya saya yang masukkan dompet awak dalam beg Bobby. Kalau tak kerana saya, tak mungkin semua ni akan terjadi. Saya dah mengaku depan pengetua tadi dan hasilnya, saya dah digantung sekolah. Betul kata Pak Abu, saya perlu belajar mengaku kesilapan sendiri. Jika tidak sampai bila-bila pun saya akan terus hidup dengan rasa bersalah. Maafkan saya, Norah. Tolonglah bangun, Norah. Maafkan saya. Buka mata awak, Norah. Senyum. Tolong, Norah,” pintaku dan terus-terusan menangis dan berdoa semoga Allah memanjangkan usianya dan mengejutkannya dari tidur yang panjang itu.

Mak dan Ayah yang menjemputku pulang dari sekolah tadi cuba mententeramkan keadaan. Aku benar-benar menyesali dengan segala apa yang telah terjadi. Aku juga sedih kerana telah mengecewakan perasaan mereka berdua. Sesungguhnya kata Pak Abu itu betul. Kemenangan yang sebenar ialah bukan dengan berlawan atau bermusuh tetapi dengan memaafi dan memperbaiki kelemahan diri.

Jari-jemari Norah aku cium sebelum kami berangkat keluar dari situ. Sebelum beredar, aku sempat berdoa semoga satu hari nanti dia akan bangun untuk bersamaku semula. Moga-moga Allah memakbulkan niat murniku itu.

Amin.

Advertisements

Read Full Post »

Kami semua berada di dalam bilik lukisan petang itu. Puan Nuralisa Wong, Guru yang mengajar meminta kami memilih salah satu tajuk yang diberi untuk dilukis. Ada tiga iaitu Sepetang di Malaysia, Logo Barangan atau Produk Ciptaan Sendiri, dan potret Sahabat Saya. Aku termenung memikirkan tajuk yang sesuai untuk dilakarkan pada kertas kanvas yang masih lagi putih bersih itu. Mungkin aku harus memilih tajuk yang pertama. Mungkin aku harus menceritakan satu panorama indah di waktu petang dengan cantuman warna padang yang menghijau dan tasik yang luas membiru. Kemudian, di tengah-tengah tasik itu aku selitkan pula bayangan sepasang kekasih ibarat aku dan Norah yang sedang berkencan di atas sampan kecil sambil diperhatikan oleh dua ekor angsa putih yang sedang bercium hingga terhasil bentuk hati di tengah ruang leher mereka.

Wow! Romantik! Aku tersenyum sendiri. Hebatnya cerita lukisan yang mahu dihasilkan setinggi kehebatan angan-anganku yang tidak kesampaian juga. Tidak. Aku tidak akan terus berfikiran tahyul begini. Aku mahu kembali berpijak di bumi yang nyata. Tolong.

Otak cuba pula untuk memfokus tajuk lukisan yang kedua; Logo Barangan atau Produk Ciptaan Sendiri. Aku perlu memilih satu produk yang sesuai sebelum melakarkan logo yang diingini. Mungkinkah produk kecantikan? Aku jarang-jarang sekali mengambil perhatian pada produk serupa itu di rumah. Mungkin juga produk masakan? Mak tidak pernah langsung membenarkan aku bermain api di dapur. Bagaimana pula dengan produk kesihatan milik Ayah? Pil-pil vitamin yang dimakannya setiap hari? Jenama-jenama pakaian yang tergantung di dalam almarinya? Tidak. Aku kira aku perlu hasilkan barangan tersendiri. Yang lebih original. Jika boleh, yang pernah aku miliki atau yang pernah aku minati.

Mungkin aku harus melakarkan gambar sepasang remaja sedang bercumbuan atau berpegangan tangan untuk produk racun lalang saja. Dia atas lukisan itu aku boleh tuliskan cogankatanya seperti, “CINTA ITU MEMBUNUH,” atau “CINTA IBARAT RACUN, PEMBUNUH HIDUPAN YANG SEGAR,” atau aku berterus terang saja dengan berkata, “PUTUS CINTA? HANYA SECAWAN SEHARI. BAGUS UNTUK MENDAPAT KEPUTUSAN YANG CEPAT.”

Masya Allah Alfie, aku mengucap panjang. Jangan sesekali menyebarkan ajaran yang tidak elok seperti itu. Berdosa.

Mahu tidak mahu aku terpaksa menerima pilihan yang ketiga iaitu potret Sahabat Saya. Siapa sahabat saya? Soalku pada diri sendiri. Aku tidak punya sesiapapun untuk digelar sahabat tetapi aku ada mereka semua di dalam bilik lukisan ini untukku panggil kenalan. Mereka semua yang sedang leka melakar lukisan masing-masing ini. Mereka semua yang sudah membancuh pewarna untuk disapukan ke atas lakaran pensil yang sudah terhasil. Mereka semua, termasuk Norah yang duduk semeja dengan kekasihnya, Bobby.

Ya, Norah. Gadis yang pernah aku gelarkan sebagai seorang sahabat itu dulu. Niat di hati ingin memotretkan wajahnya tetapi terang-terangan dia sudah menunjukkan tanda tidak ingin menjadi sahabatku lagi. Nampaknya hasutan Bobby supaya kami berjauhan telah berjaya. Dia aku lihat sudah seperti sudah terlalu jauh berbeza dari dulu sebaik memilih lelaki berhidung tajam itu untuk menggantikan tempatku. Dia kelihatan lebih gembira. Dia kelihatan lebih berdua. Di dalam kelas, di dalam kantin, di dalam bilik makmal, di dalam bilik lukisan, di tengah padang, di bawah pokok, di sebelah air pancut, di tempat letak kereta, di dalam kawasan perhimpunan, di dalam bilik guru, di dalam pusat sumber, di dalam perpustakaan, di depan kedai koperasi, malah di mana jua aku berdiri pasti mata ini akan bertembung dengan kedua-dua pasangan pinang yang dibelah-belah itu. Ah, cukuplah Alfie! Bukankah ianya terlalu bodoh untuk dikenangkan?

Guru yang sibuk bermain dengan telefon tangannnya di depan tidak langsung memberikan perhatian terhadap telatah dan kerja pelajar di belakang. Aku berdiri dan meninggalkan saja kertas lukisanku di situ. Cepat-cepat aku berlari menuju ke tandas. Tiba di situ, aku memandang wajah sendiri di dalam cermin. Nampak sugul dan tidak bermaya. Mata juga kelihatan bengkak, tanda aku banyak menangis dan bersedih sejak akhir-akhir ini. Hati tertanya, bukankah apa jua yang dilakukan harus ada batas dan sempadannya? Mengapa manusia seakan-akan sengaja lari dari batasan itu hanya kerana mahu mencabar kesabaran orang lain? Tidak sedarkah mereka bahawa kesabaran itu juga ada batas dan sempadannya sendiri?

Sudah puas aku bertafakur seorang diri di dalam rumah sejak akhir-akhir ini untuk mencari jalan mententeramkan hati yang sudah terluka tetapi ternyata ianya tidak cukup. Apa yang dilakukan oleh Bobby terhadapku benar-benar melampaui batasan. Mungkin silapku juga kerana pernah mengambil duit Mak dan Ayah dari dalam dompet mereka tapi itu tidak bermakna aku juga boleh sewenang-wenangnya mengambil duit dari dompet orang lain. Aku bukan begitu kerana aku bukan pencuri. Ya, tanganku agak panjang jika mahu dibandingkan dengan tubuh yang agak kecil ini tetapi itu bukan bermakna aku boleh dilabelkan sebagai seorang pencuri. Mengambil wang dari dalam dompet Mak dan Ayah tanpa pengetahuan mereka bukan mencuri. Aku sekadar mengambil, bukan mencuri.

Jadi aku pelik. Mengapa Bobby dan rakan-rakan samseng tahi kucingnya itu boleh menuduh aku mencuri wang mereka tanpa ada bukti yang sah? Dan mengapa pula Mak dan Ayah boleh menerima saja tuduhan-tuduhan berat mereka yang tidak berasas itu? Selama mana aku harus berdiam diri dan membiarkan mereka-mereka itu terus memijak kepala ini? Tidak sedarkah mereka bahawa kesabaran juga ada batas dan sempadannya?

Ya, Alfie! Kesabaran ada batasannya. Aku terkenang kembali bilik jamban di mana aku dikunci satu ketika dahulu. Bagaikan ternampak di depan mata keadaan memalukan diri di mana aku terpaksa memakai seluar yang basah lencun, yang kemudiannya terkoyak akibat melekat pada kerusi. Tetapi waktu itu aku beranggapan ianya hanyalah sekadar gertakan-gertakan kecil dari Bobby yang cuba bermain dengan bara api. Gertakan yang belum cukup hebat untuk dibandingkan dengan tuduhan yang dilemparkan ke atasku semata-mata untuk memenangi hati Norah. Tuduhan itu benar-benar telah melampaui batasan. Tuduhan itu bagaikan sengaja mahu menghumban tubuhku ke dalam api neraka. Aku tidak selayaknya diperlakukan begitu.
Aku tidak sehina itu untuk diperlakukan begitu. Aku pantang dicabar, Bobby. Aku juga mampu bermain kotor, kau tahu?

Aku keluar dari tandas. Bilik lukisan berada di bangunan sebelah kanan tetapi kakiku membelok ke kiri, memanjat tangga, dan terus masuk ke dalam kelas. Tiada sesiapapun di situ waktu itu lantas memudahkan lagi kepala memikirkan perkara-perkara yang bukan-bukan.

Apa yang harus aku lakukan terhadap Bobby? Meletakkan gam kayu pada kerusinya? Mungkin tidak. Aku tidak membawa gam hari itu. Melonggarkan skru pada kaki kerusi dan mejanya? Mungkin tidak juga. Aku tidak membawa peralatan yang cukup. Mungkin aku harus menyapu serbuk putih dari pemadam papan hitam agar seluar hijaunya berkepuh? Tidak, aku tidak rasa itu sudah cukup brutal. Aku perlu lakukan sesuatu agar ianya meninggalkan kesan yang mendalam. Jika boleh impaknya harus sama seperti kejadian ulat bulu di dalam kasut sukannya dahulu. Ya, sesuatu yang jahat seperti itu.

Tiba-tiba mata terpandang pada sesuatu benda di atas meja Norah. Mataku terus terjegil besar. Tanduk mula tumbuh di atas dahi sedikit demi sedikit. Ekor juga makin memanjang menembusi seluar di bahagian punggung. Ya! Aku dapat satu idea.
******************************************************************************

Aku memulangkan kertas putih yang hanya terconteng lukisan berupa kotak warna biru dengan seekor burung merpati putih yang hinggap di atas ranting kayu di tengah-tengahnya. Apabila ditanya tentang logo barangan atau produk jenis apakah yang aku cuba hasilkan, jawabku mudah. Sabun basuh dan gambar merpati putih itu sebagai lambang kesucian yang telah timbul di dalam hati setelah bersih dari segala kekotoran dan kejahatan. Puan Nuralisa Wong menaikkan kedua-dua ibu jarinya ke atas. Ternyata dia bersetuju dengan jawapan yang aku berikan sedangkan aku hanya mampu memandang ke lantai kerana tidak mempercayai kata-kataku sendiri setelah apa yang aku lakukan di dalam bilik kelas yang kosong tadi.

Dalam perjalanan pulang ke kelas semula, dadaku berdegup kencang. Berdebar menunggu reaksi yang bakal berlaku. Kaki juga seakan-akan berat untuk melangkah dan memanjat anak tangga. Wajah rakan sekelas lain yang berpasang-pasangan, aku perhatikan dengan takut-takut. Seorang demi seorang melepasiku dan meninggalkanku di belakang.

Lima minit kemudian, sebaik aku melangkah masuk, keadaan di dalam kelas menjadi agak kecoh sedikit. Norah berlari ke meja guru, mengadu kepada Puan Letchumy yang sudah sedia ada menunggu kami semua di situ tentang sesuatu. Pap! Pap! Tiba-tiba bunyi hentakan kuat rotan panjang di atas meja menyepikan suasana. Masing-masing kelihatan terpinga-pinga apabila guru berbangsa India itu meminta kami berdiri dan berbaris di hadapan di mana pelajar perempuan semuanya di sebelah kanan sementara yang lelaki di sebelah kiri. Bobby yang berdiri bersebelahan meja guru cuba untuk menenangkan Norah yang nampak cemas.

“Kawan awak Norah baru saja kehilangan dompet dia. Ada sesiapa yang nampak atau terambil?” Tanya Puan Letchumy sambil membetul-betulkan sari yang dipakai. Masing-masing berpadangan sesama sendiri namun tiada seorangpun yang berani membuka mulut, mengaku. “Baiklah, keluarkan semua barang yang ada dalam poket dan tunjukkan kepada saya. Sila berikan kerjasama jadi jangan ada yang sorokkan apa-apa, ya!”

Semua mengikut seperti apa yang diarah. Norah berjalan seakan-akan melalukan kawad cam dengan memeriksa barang yang ditunjukkan. Habis melepasi dua barisan, dia akhirnya menggeleng. Hampa.

Puan Letchumy mendengus. “Awak ingat mana yang awak letak tadi?” Soalnya.

Norah menggeleng, “saya terlupa.”

“Sekarang, pergi periksa semua beg yang ada dalam kelas ni termasuk beg awak sekali. Manalah tahu awak ada terselit dalam mana-mana poket dalam beg awak tu.”

Sebaik disuruh, tanpa berlengah Norah terus meluru ke mejaku. Beg sandangku di atas lantai dikutip dan semua isi harta pusaka yang ada di dalamnya dibawa keluar. Tidak cukup dengan itu, dia memeriksa laci meja, bawah meja malah di mana saja terdapat lobang kecil sama ada pada beg atau tempat aku duduk digeledahnya dengan kasar. Aku terkesima apabila diperlakukan begitu. Rakan sekelas yang lain juga terkejut dengan reaksinya dan mula berbisik perlahan. “Cari betul-betul!” Jerit Bobby cuba pula memanaskan lagi keadaan. Setelah lima minit cubaan menyelongkar dan menggeledahnya gagal, dia akhirnya termenung dan mengalah.

Aku juga turut sama termenung sambil duduk menyangkung. Tiba-tiba air mata menitis apabila mengenangkan begitu rendah sekali kedudukanku di mata Norah kini. “Kenapa awak cari di dalam beg saya saja? Beg orang lain tak cari? Beg awak sendiri? Beg Bobby? Kenapa beg saya saja? Sebab saya seorang pencuri ya, Norah? Dah berapa banyak duit orang yang saya curi, Norah?”

“Memang pun kau pencuri Alfie sebab tu lah dia periksa beg kau dulu!”

“Bobby, cukup!” Sampuk Puan Letchumy sambil melibaskan rotan di tangan ke punggung budak lelaki itu.

“Norah, kenapa berhenti? Cepat! Jangan buang masa!”

Norah menyambung pencarian. Bermula dengan Ah Kim, Sabri, Krishna, berterusan dari satu meja ke satu meja hinggalah ke meja meja yang terakhir, Bobby. Dia mengintai ke dalam laci. Kosong. Kemudian dia membuka kancing beg. Tiada juga terselit di celah-celah himpunan buku. Matanya yang sayu memandang Puan Letchumy lantas mengangkat bahu dan menggelengkan kepala.

“Betul? Poket depan? Poket belakang? Poket rahsia? Semua dah cari?”

“Saya bukannya macam Alfie, cikgu. Dia yang mencuri dalam kelas ni, bukan saya!” Jawab Bobby mempertahankan diri.

“Mana awak tahu dia yang mencuri? Awak ada bukti?”

“Alah, banyaklah cikgu! Baik cikgu periksa beg dia sekali lagi!”

“Norah! Bawa sini beg kamu, beg Alfie, dan beg Bobby sekali. Biar saya pula yang tolong cari. Yang lain boleh duduk balik. Cepat!”

Ketiga-tiga beg di bawa ke depan. Kesemua barang-barang yang di dalamnya dikeluarkan satu persatu. Bermula dengan beg sandangku dan ianya ternyata kosong. Aku merampasnya dan kembali ke tempat duduk. Kemudian, beralih pula ke beg Norah. Setelah diselak dan diselongkar terbukti ianya kosong juga. Beg warna kuning itu kembali diserahkan kepada tuannya. Akhirnya semua yang ada di dalam kelas waktu itu menunggu keputusan dari beg Bobby. Puan Letchumy mengeluarkan segala yang ada dalam beg itu. Buku, komik, PSP, telefon bimbit, dan beberapa keping kad ucapan dan nota-nota lama yang telah lusuh. Dompet yang dicari tidak ditemui. Bobby tersenyum. Norah walaupun sedang bersedih tetap mampu menunjukkan tanda kelegaan pada wajah. Dan aku hanya mampu menundukkan wajah ke bawah dengan perasaan yang bercampur baur.

“Nah!” Puan Letchumy memulangkan beg yang kosong ke tangan Bobby tetapi belumpun sempat ianya disambut, beg itu ditariknya semula. Tangannya meraba-raba satu benda keras di bahagian bawah beg itu. “Apa ni?” Soalnya.

Bobby menggeleng.

“Macamana nak keluarkan benda ni?”

Bobby mengangkat bahu.

Beg itu diterbalikkkan. Tangannya perlahan-lahan menyeluk, mencari-cari zip ataupun butang untuk membuka poket rahsianya. Tidak ditemui tetapi jari-jemarinya berjaya menarik benda keras itu keluar sedikit demi sedikit. Seminit dua kemudian, dia berjaya mengeluarkan bukan satu tetapi dua benda yang tersorok di situ. Sebaik diletakkan kedua-dua barangan yang ditemui itu di atas meja, semua yang ada di dalam kelas terkejut besar.

“Bobby! Itu dompet saya!” Jerit Norah. “Yang ni, apa? Siapa punya ni, Bobby?” Sambil mencebik, dia menunjuk seluar dalam wanita warna merah jambu dengan rotan panjang kepunyaan Puan Letchumy yang diambil dari atas meja itu.

“Bukan saya yang curi dompet awak Norah! Sumpah! Tapi seluar dalam ni memang saya yang punya. Yang tu saya tak curi,” jawab Bobby menahan malu sementara yang yang lain tidak dapat pula menahan rasa geli di hati.

“Sudah! Diam semua!” Marah Puan Letchumy apabila keadaan mula tidak terkawal. “Bobby! Norah! Ikut saya!” Arahnya dengan keras.

Semua yang ada di dalam kelas masih lagi tidak henti denga hilai tawa mereka. Aku memandang wajah Bobby yang dibawa keluar dengan penuh rasa jijik. Padan muka kau! Siapa yang pencuri sangat dalam kelas ni, ha? Aku ke kau? Bisik hatiku geram.
******************************************************************************

Loceng sekolah berbunyi tepat pada pukul satu petang. Kesemua pelajar sibuk mengemas beg masing-masing untuk pulang ke rumah tanpa memperdulikan arahan guru yang masih lagi bercakap di depan. Aku memilih untuk melambat-lambatkan diri keluar dari kelas itu. Kepala masih lagi runsing memikirkan nasib yang menimpa Bobby. Sebenarnya, aku yang meletakkan dompet Norah itu ke dalam beg sekolahnya. Aku rasa hanya itu saja jalan untuk mengajar budak jahat itu untuk tidak mengulangi perbuatan buruknya lagi.

Tadi Puan Letchumy memberitahu kami semua yang dia telah digantung sekolah selama seminggu. Ibu bapanya dipanggil untuk hadir di hadapan pengetua ketika hukuman tersebut dijatuhkan. Mereka sedih dan dalam masa yang sama tidak menyangka sama sekali anak tunggal kesayangan mereka itu terlalu berani membuat perkara yang tidak senonoh seperti itu. Aku tidak pasti sama ada hukuman itu setimpal dengan dosa yang dia telah lakukan padaku selama ini. Mungkin aku yang terlalu mengikutkan perasaan. Mungkin aku yang keterlaluan. Mungkin aku patut mengaku saja atas perbuatan jahatku itu.

Aku berjalan lemah keluar dari dalam bilik kelas merentasi padang sekolah untuk menuju ke pintu pagar utama. Tiba-tiba dalam kebingitan suara pelajar-pelajar sekolah yang bertepuk tampar menjerit, bermain, dan berbual ditambah pula pula dengan hiruk-pikuk bunyi hon dan enjin dari kenderaan sama ada yang sedang menunggu untuk menjemput seseorang ataupun yang sedang menderu laju, telingaku masih dapat menangkap suara lembut yang memanggil namaku dari belakang. Aku berhenti dan menoleh.

“Maaf sebab saya tuduh awak mencuri tadi. Ini semua sebab Bobby. Saya terpengaruh dengan kata-kata dia.”

“Tak perlulah awak salahkan orang lain, Norah. Awak dah besar, dah boleh berfikir dan buat keputusan sendiri, kan?”

“Ya, saya minta maaf. Betul cakap awak. Sebenarnya saya yang terlalu mudah sangat buat judgment terhadap awak. Kalau saya kat tempat awak pun saya akan rasa sama macam apa yang awak rasa sekarang. Tapi saya betul-betul dah menyesal dan saya nak minta maaf sangat-sangat. Saya harap awak tolong maafkan saya eh, Alfie?”

Aku merenung lengan yang dipegang. Kemudian, mata memandang pada wajah yang sayu itu. Sedetik itu juga hati mula bercampur baur dengan pelbagai perasaan. Ada rasa suka, sedih, riang, kasih, kasihan, teruja, lega, syahdu, puitis, puas, dan memaafi. “Janji awak tak akan syak wasangka kat saya lagi lepas ni?”

“Saya janji.”

“Macamana pula dengan Bobby? Dia tak suka kita berkawan, kan?”

“Saya dah tak nak kawan dengan dia lagilah, Alfie. Tak ada faedah pun kalau nak terus berkawan dengan orang yang macam tu. Saya mati-mati ingatkan dia dah berubah rupa-rupanya dia tipu saya hidup-hidup!”

“Tak apalah, Norah. Bukan salah awak. Kadang-kadang syaitan tu tak payah menyerupai sesiapapun untuk menjadi syaitan. Dia elok je kekal dalam rupabentuk yang asal.”

Norah ketawa besar lantas mencubit lengan tanganku yang dipegang. Aku terjerit kesakitan dan kemudiannya turut tergelak sama.

Cuaca panas petang itu tidak menghalang kami berdua untuk berbual sambil memakan aiskrim dalam perjalanan pulang ke rumah. Tiba di satu selekoh, sekali lagi aku terdengar namaku dipanggil. Kali ini suaranya agak parau dengan jeritan yang amat kuat. Aku berhenti, menoleh, dan terkejut apabila mendapati rupa-rupanya kami diekori oleh Bobby dengan tangannya memegang sebatang kayu panjang di belakang.

“Apa kau nak?” Aku cuba menghalang tetapi Norah sudahpun terlebih dahulu meluru ke arah budak lelaki itu.

“Ke tepi Norah, ini hal aku dengan budak kurang ajar ni!”

“Siapa yang kurang ajar, Bobby? Bukan ke kau yang curi dompet aku?”

“Bukan Norah! Dia yang letakkan dalam beg saya, saya tahu! Tadi dia hilang masa dalam bilik lukisan, masa tulah dia buat kerja tu. Masa kelas kita kosong. Saya tahu! Baik kau mengaku sekarang, Alfie! Sebelum aku hentak kepala kau dengan kayu ni!”

“Hey sudahlah, Bobby! Buang kayu tu! Tak payah nak menegakkan benang yang basah. Apa lagi yang kau nak buktikan? Kau nak kata seluar dalam tu pun dia yang letak juga kat dalam beg tu ke? Cukup-cukuplah menipu tu, Bobby! Aku dah tak percayakan kau lagi!”

“Ah, kau diamlah!” Bobby menolak tubuh Norah ke tepi. Belumpun sempat tangannya menghayun kayu panjang itu singgah di kepalaku, tiba-tiba kami dikejutkan dengan satu bunyi hentaman yang kuat. Spontan itu juga kami berdua memalingkan wajah. Kelihatan sebuah kereta Mercedes warna putih yang entah dari mana datangnya berhenti betul-betul bersebelahan kami. Pemandunya keluar, “Bobby, what have you done?!” Jerit seorang wanita yang dipercayai ibunya. Mataku tertumpu kepada tubuh Norah yang sudah terpelanting jauh dan berlumuran darah. Bobby terduduk sementara aku terus rebah ke bumi. Pandangan serta merta gelap selepas itu.

Read Full Post »

Norah: Kenapa awak tak cakap dengan saya eh, hari ni?

Aku: Iya ke? Tak perasan pulak. Kita nak cakap pasal apa ya hari ni?

Norah: Pasal cinta?

Aku: Cinta?

Norah: Ya.

Aku: Kenapa mesti cinta?

Norah: Sebab ada kaitan dengan kita.

Aku: Apa kaitannya?

Norah: Sebab saya cintakan awak.

Aku: Ha?!!

Mata yang terpejam lena terus terbeliak besar. Ceh! Aku bermimpi lagi.

******************************************************************************

Selepas diberi amaran tempohari, aku hanya mampu memerhati Norah dari jauh. Usahkan menatap matanya, hendak merenung bayangnya pun aku takut-takut. Bobby sedari tadi berlagak seperti biasa. Seperti tiada perasaan bersalah kerana merampas atau menghalang aku untuk mendekati gadis pujaanku sendiri. Walaupun begitu, sekali sekala aku tetap nampak lirikan matanya menjeling ke arahku. Aku tahu dia hanya ingin memastikan aku menurut seperti apa yang diarahkan. Cuma yang dia tak tahu, aku memang sengaja mengikut telunjuknya itu.

Aku telah berjanji pada bulan dan bintang sebelum tidur malam tadi. Aku katakan pada mereka bahawa aku tak akan sesekali menduakan perasaan yang ada terhadap Norah hanya kerana telah dipaksa oleh orang lain. Kata bulan, itu satu tindakan yang bijak kerana tiada siapapun di dalam dunia ini yang mampu untuk menghalang kehendak atau keinginan orang lain. Bintang juga bersetuju dan meminta aku terus teguh dengan pendirian sendiri. Cuma kata mereka aku harus memilih jalan yang lebih sesuai untuk merealisasikan impianku itu.

“High road,” kata mereka. Serentak dan berspeaking.

******************************************************************************

“Kenapa awak tak cakap dengan saya eh, hari ni?”

“Iya ke? Tak perasan pulak. Kita nak cakap pasal apa ya hari ni?”

“Nak bercakap pun kena ada topik ke? Dah tak boleh nak sembang-sembang kosong lagi dah?”

Aku terdiam. Tiada jawapan pada soalan itu. Nasi lemak yang sudah sejuk dalam bekas plastik aku suap masuk ke dalam mulut. Pagi itu kami hanya rehat berdua. Bobby tiada di sisi. Kata Norah, dia sedang sibuk mengendalikan urusan-urusan pasukan bolanya. Aku mengangguk. Malas untuk mengambil tahu.
Aku menyeluk sesuatu di dalam poket seluar lalu aku keluarkan sebungkus kecil hadiah di dalam kotak yang baru dibeli kelmarin. Harganya tidak berapa mahal tapi cukup untuk membuatkan perutku diikat untuk seminggu.

“Cantiknya… terima kasih!” Ucap Norah dengan tersenyum manja sambil meletakkan subang gantung bentuk bulan dan bintang itu ke telinga.

Aku suka melihat reaksi yang terpancar itu. “Tak ada kaitan dengan sesiapa dalam hidup awak?”

“Tidak,” jawabnya yakin.

“Langsung tak ada? Betul? Tak ada kaitan dengan sesiapa sama ada yang masih hidup atau yang belum mati ataupun yang telah hilang tanpa dikesan?”

“Iya, tak ada,” dia mengangkat tangan bersumpah. “Saya rasa subang ni mahal. Saya pernah nampak kat Jusco. Kalau tak silap harganya RM20, kan?”

“Tak lah. Entahlah. Tak kisahlah. Yang penting awak suka…”

“Saya suka sangat. Terima kasih,” ucapnya sekali lagi sebelum memasukkan subang itu kembali ke dalam bungkusannya dan terus menyimpannya di dalam saku di tepi baju kurung sekolah.

“Ehem!” Kami berdua serentak menoleh ke belakang.

Bobby, aku menyebut nama itu dengan lemah di dalam hati.

“Hai Bobby!” Berbeza dengan Norah, dia kelihatan begitu teruja. “Dah selesai semua hal dengan team bola awak? Eh, dah makan?” Soalnya.

Bobby mengangguk.

“Nak sikit?”

Bobby menggeleng sambil mengusap perutnya yang tegang kekenyangan.

“Tengok ni, cantik tak?”

Bobby menjegilkan mata. Aku pun turut sama terjegil menantikan reaksi seterusnya dari lelaki itu. dia menatap subang yang tercucuk pada span di dalam bungkusan kecil itu tanpa berkelip. “Siapa bagi?” Soalnya.

“Alfie. Cantik, kan?”

Aku menelan liur. Bimbang.

******************************************************************************

Dalam perjalanan pulang, aku tiba-tiba ditahan oleh empat orang samseng dari kampung dusun. Aku tidak tahu dari mana munculnya keempat-empat samseng itu dan tiga daripadanya langsung tidak aku kenali. Seperti yang sudah dijangka, kepala samsengnya tidak lain dan tidak bukan ialah Bobby sendiri.

Dia mengarahkan masing-masing berdiri di empat bucu yang bertentangan, mengepung agar aku tidak dapat bergerak ke mana-mana. Aku mula cuak namun cuba sedaya upaya menutupnya dengan membuat wajah yang serius. Tubuh berdiri tegak dengan tangan mencekak pinggang. Mata pula sengaja tidak dikelipkan agar dapat memandang wajahnya tepat ke dalam mata. Walaupun peluh jantan mula merembes, aku tetap juga menguatkan semangat untuk terus memberanikan diri.

Mula-mula Bobby ketawa, diikuti oleh rakan samsengnya yang lain. Kemudian, dia menolak tubuh ku ke belakang, disambut oleh salah seorang dari mereka dan ditolak ke depan pula. Aku rasa diperlakukan seperti sebiji bola dan cuba untuk melepaskan diri. Tetapi semakin aku memberontak makin kuat pula tubuh ini dikerjakan. Akhirnya aku berasa pitam dan terjatuh ke tanah. Bobby menyangkung. Tangannya ringan menampar pipiku, kiri dan kanan. “Ini baru sikit, Alfie. Kalau sekali lagi aku nampak kau langgar amaran yang aku bagi, nahas kau. Lagi teruk aku kerjakan. Faham?!”

Aku berpura-pura mendiamkan diri. Berlakon mati adalah satu taktik melepaskan diri yang sering digunakan oleh haiwan untuk menyelamatkan diri dari menjadi habuan musuh. Tidak selalunya taktik itu menjadi tapi nampaknya hari itu tuhan sekali lagi menyebelahi nasib insan yang teraniaya seperti aku.
Aku memasang telinga mendengar derapan kasut ke empat-empat samseng tahi kucing tadi berlari ke semua arah. Setelah yakin mereka tiada, aku kembali membuka mata. Silau dek panahan mentari tidak menghalang aku memandang sekeliling. Sedikit demi sedikit, aku mula terlihat pokok-pokok renek yang bergoyang ditiup angin. Kemudian, kepala dipusingkan ke kiri untuk memandang ke arah taman permainan yang kosong dan usang. Di kanan pula kelihatan sebuah rumah batu tiga tingkat dengan dinding berwarna kuning. Aku memusingkan kepala 360 darjah. Sah, samseng itu semua sudah tiada di depan mata. Aku bangun, mengusap kekotoran yang melekat di baju, bersyukur dan kembali menyambung perjalanan.

Setiba di rumah, aku lihat Ayah sedang leka membasuh keretanya. Aku tersenyum dan cuba untuk menutup baju yang kotor dengan beg yang disandang tetapi dia tidak memberikan sebarang reaksi. Aku terus melangkah masuk ke ruang tamu. Mak sedang menanti di atas sofa, juga dengan wajah yang penuh serius. “What happen to you, Alfie?” Soalnya keras. Aku rasa tidak sedap badan setiap kali Mak menegurku dengan bahasa penjajah sebegitu. “Kenapa baju kotor sangat? Pergi sekolah ke bersawah?”

“Jatuh,” jawabku sepatah sebelum meminta diri.

“Sit. We need to talk,” bagaikan anjing belaan, aku duduk menatap wajahnya yang garang.

“Kenapa, Mak?”

“Duit Mak hilang lima puluh ringgit, Alfie tahu mana dia pergi?”

Aku menelan liur. “Tak.”

“Duit Ayahpun hilang lima puluh ringgit baru-baru ni, Alfie ada jumpa?”

Nafas bagai disekat-sekat. “Tak.”

“Alfie tahu apa hukuman mencuri?”

“Tak. Eh, tahu. Eh, sekejap. Mak tuduh Alfie mencuri ke?”

“Mak bertanya, bukan menuduh. Alfie tahu apa hukuman orang yang mencuri dan berbohong?”

Aku makin rasa tertekan. Dada juga makin kencang bergegup apabila bertentang mata dengan seseorang yang cukup berpengalaman bermain dengan psikologi seperti ibuku itu. Tetapi tidak. Aku tidak akan mudah mengalah dengan gertakan kecil seperti ini. “Dalam Islam, kalau orang tu mencuri, tangannya boleh dipotong. Kalau berbohong, lidahnya pun boleh dipotong. Itu mengikut hukum hudud tapi kalau mengikut undang-undang sivil di Malaysia, orang tu boleh dipenjara, disebat, disaman, atau dikenakan kesemuanya sekali. Kan, Mak?”

Mak tersenyum kecil. Senyumannya itu serba sedikit telah memberi keyakinan bahawa aku telah berjaya memanipulasi fikirannya. “Pandai pun anak Mak. Dah, pergi mandi. Comot macam kerbau!”

Aku bingkas bangun menuju ke bilik air. Baru beberapa langkah aku terdengar suara Ayah menyapa dari belakang. “Macam mana?”

“Dia tak nak mengaku. Anak awak, kan? Degil macam bapaknya jugak!”

Read Full Post »

“Halimatunsaadiah telah disahkan berbadan dua!!!!!”

“Hamil?” Tanyaku kepada Muthu yang leka memakan kacang parang. Dia mengangguk. “Pregnant?” Aku mengalih pula soalan itu kepada Felicia yang tidak sudah-sudah menilik cermin di belakang pengasah pensil untuk menanggalkan kulit kering di bibirnya. Dia menganggukkan kepala juga. Sebelum sempat aku mengalihkan pandangan kepada Malik untuk menanyakan soalan yang sama, dia telah terlebih dahulu memberikan jawapan. “Ya Alfie, si debab tu dah ditebuk tupai!” Dengan ayat-ayat yang penuh makna. Aku terkesima. Genap tujuh orang kenalan yang ada di sekolah itu sudah aku tujah dengan soalan kontroversi itu dan rata-rata mereka bersetuju untuk memberikan jawapan yang sedondon.

Aku termenung. Tempat duduknya yang kosong yang aku amati betul-betul. Entah kenapa kejutan yang aku dengari sebaik melangkah masuk ke dalam kawasan sekolah pagi tadi masih lagi menghantui kotak fikiran. Aku tidak pernah menyangka dugaan besar itu akan menimpa gadis selembut Halimatunsaadiah. Iya, mulutnya kadangkala lantang bersuara. Iya, tubuhnya juga lebih besar dari pelajar yang lain tetapi itu bukan sebabnya dia boleh membiarkan dirinya dinodai. Ataupun membiarkan otaknya tidak dapat membezakan antara baik buruk, dosa dan pahala.

Dia seorang pelajar yang cerdik. Yang sering menggondol markah penuh dalam setiap matapelajaran yang diuji, yang sering mengepalai pelajar wanita Islam dalam persembahan nasyid dan majlis tilawah Al Quran, dan yang tidak pernah sekalipun namanya diasingkan dari agenda guru-guru di sekolah di dalam pemilihan pelajar untuk menyertai aktiviti akademik mahupun kokurikulum. Jika aku seorang pelajar yang tidak mempunyai apa-apa ini boleh berfikir secara rasional dan matang, mengapa tidak dia?

Walau bagaimanapun, itu bukan persoalannya. Aku tidak pelik kepada semua kelebihan-kelebihan yang membebalkan otak yang dia miliki itu. Aku percaya manusia itu diciptakan oleh tuhan untuk membuat kesilapan dan justeru itu mereka dapat mempelajari untuk memperbaiki diri dari kesilapan yang mereka ciptakan sendiri. Yang membuatkan aku kurang percaya ialah bagaimana pelajar seperti Halimatunsaadiah yang lantang bersuara itu atau yang lebih besar dari pelajar lain tubuhnya itu, boleh berbadan dua. Apakah dia dirogol?

Tiba-tiba pipiku rasa perit ditumbuk oleh perasaan sendiri. Lupakah engkau bahawa cinta itu sememangnya buta, Alfie? Tanya hatiku.

Ya, mahu tidak mahu aku terpaksa mengakui bahawa sesiapapun berhak untuk bercinta di dalam dunia ini. Sesiapapun, termasuklahHalimatunsaadiah yang debab itu. Maafkan aku, entah kenapa perasaan simpati boleh bertukar menjadi iri. Hati dan otak masih lagi terus tertanya, jika dia mampu untuk berbadan dua, apa kurangnya dengan aku yang kecil ini? Aku juga mahu memiliki perasaan dicintai, mencintai, dan dikecewakan seperti dia. Kenapa tuhan tidak memberikan aku kesempatan itu?

Ustaz Sabri masuk ke dalam kelas dengan wajah yang suram. Selesai membuat rutin mengambil nama semua pelajar Islam yang ada di dalam kelas, dia duduk dan mula termenung memandang ke arah meja Halimatunsaadiah, anak murid kesayangannya. Dia mengeluh memikirkan nasib gadis malang itu. Usianya masih terlalu muda. Perjalanan hidupnya juga masih terlalu panjang untuk dia tempuhi. Kejadian ini benar-benar satu kecelakaan. “Macam mana kamu mahu hidup sedangkan hidup sendiri pun masih di bawah jagaan ibu bapa? Macam mana kamu nak besarkan anak yang tak berdosa tu sedangkan kamu sendiri tak berduit? Kamu dibuang sekolah? Kamu sudah tak ada masa depan? Ada anak kecil lagi? Astaghfirullahalazim… Cuba fikir, berbaloikah apa yang kamu dapat hanya sekadar mahu berseronok untuk sepuluh minit, lima belas minit?” Dia memberi nasihat yang tajam kepada kami.

Sepuluh minit, lima belas minit saja? Memang tidak berbaloi, jawab hatiku seakan-akan tidak percaya dengan apa yang baru ku dengari. Aku memerhatikan Norah yang duduk di meja paling hujung. Matanya dari tadi menunduk ke bawah. “Psst! Kenapa?” Soalku dengan mengangkat kening. Perlahan-lahan aku menarik kerusi dekat padanya. “Awak tak apa-apa?” Soalku sekali lagi. Dia mengangguk lemah. Aku lihat wajahnya sugul. “Kenapa?” Mulutku masih lagi belum letih untuk bertanya walaupun dia cuma memberikan jawapan yang cukup pendek, “tak ada apa-apa”.

“Awak demam?”

“Tak.”

“Bobby bikin panas?”

“Tak lah. Berapa kali saya nak cakap, Bobby tak ada buat salah apa-apa. Dia budak baik. Kenapa awak selalu ada masalah dengan dia? Selalu sangat nampak dia jahat? Kenapa orang yang selalu nampak jahat dituduh jahat sampai bila-bila? Syaitan tu tak semestinya nampak samseng. Dia boleh menyerupai orang alim jugak. Orang yang bertudung jugak! Awak tak perasan ke?” Norah bangun dan terus melarikan diri ke luar.

Satu kelas jadi sunyi sepi selepas itu. Ustaz Sabri memandangku dengan dahi yang berkerut. Begitu juga rakan sekelas yang lain, semuanya diam seribu bahasa. Mata masing-masing terpaku memerhatikan aku tak ubah seperti mereka menonton drama menyayat hati yang berlaku ke atas Halimatunsaadiah semalam. Serentak itu juga tubuhku jadi kematu, “saya nak keluar sekejap, Ustaz. Ambil angin,” pintaku sebelum beredar keluar.

Aku melulu tanpa arah tujuan. Mata hanya memandang tepat ke depan tetapi mindaku menerawang jauh entah ke mana. Tiba di depan tandas, aku berhenti dan berdiri di balik pintu. Di situ aku menangis dan memarahi diri sendiri.

“Maaf, saya ter emo sekejap tadi,” tiba-tiba aku ditegur. Aku menghela nafas lega sebaik mendengar suara itu. “Tak lah, saya yang tak henti-henti nak berburuk sangka kat Bobby. Betul kata awak, syaitan tu ada di mana-mana. Kat sesiapapun dia boleh hinggap, kan? Kat saya pun, kan?”

“Kat saya pun,” jawab Norah dengan tersenyum kecil.

Aku suka melihat senyuman yang terukir itu. “Kita masih kawan kan?”

“Sampai bila-bilapun kita akan tetap berkawan, Alfie.”

“Janji?” Aku mahukan kepastian.

“Janji,” jawabnya sambil meletakkan tangan ke atas dada.

Waktu rehat, aku bersendirian tanpa sesiapa. Norah terpaksa menghadiri perjumpaan tergempar bersama ahli pasukan soraknya untuk berbincang tentang persembahan yang bakal mereka lakukan pada sukan tahunan nanti. Bobby juga hilang tanpa khabar berita. Aku tidak berapa peduli dengan kehilangannya itu malah jika diberi dua pilihan sama ada mahu duduk berdua dengannya ataupun makan bersendirian di bawah pokok ini, aku lebih rela dibiarkan bersendirian.

Pagi itu sewaktu berjalan masuk dari tandas ke dalam kelas agama, Norah mengingatkan aku tentang satu kisah agama yang pernah diajar oleh Ustaz Sabri mengikut hadith Bukhari, 7:384 dulu. Ianya mengisahkan tentang seorang pelacur yang terdampar keletihan di tengah-tengah padang pasir. Dalam perjalanan dia mencari air, tiba-tiba dia terjumpa seekor anjing yang hampir mati akibat kehausan. Atas rasa simpati, dia menggunakan kasutnya sebagai gayung untuk mencedok air di dalam perigi yang dalam. Kemudian, air itu diberi kepada haiwan itu untuk diminum. Hanya kerana sifat kasihannya itu maka dosanya diampunkan oleh Allah swt.

Kami berdua kurang pasti bagaimana pelacur itu boleh terdampar di tengah padang pasir seorang diri tetapi itu bukan persoalannya. Persoalannya ialah jika Allah boleh mengampunkan seorang umat yang berdosa besar seperti dia hanya kerana dia melakukan satu kebaikan, mengapa aku yang sehina-hina umatNya yang kerdil ini tidak mampu untuk mengubah pendirianku terhadap Bobby? Mengapa aku masih juga menganggap dirinya sama jahat seperti dulu walaupun terang-terangan di depan mata dia telah cuba sebaik mungkin untuk berubah menjadi yang lebih baik? Apakah mataku dibutakan syaitan hanya kerana aku cemburu ataupun hatiku sendiri telah digelapkan hanya kerana amarahku yang tidak pernah padam?

“Seorang saja makan?” Aku ditegur lagi dari belakang buat kali kedua pada hari yang sama. Roti sandwich yang baru digigit, aku luahkan kembali ke dalam bekas plastik. Entahlah, aku kurang pasti mengapa aku berbuat begitu. Terkejut, barangkali. “Nak?” Aku suakan bekas plastik itu kepadanya. Ada satu lagi roti berintikan sambal sardin yang belum diusik.

“Tak nak lah! Kau nak bagi aku sakit perut lagi kan?”

“Kenapa kau ingat aku nak buat macam tu?”

“Sebab aku tak pernah percayakan kau. Kau percayakan aku?”

Kata-kata itu datang dari mulut Bobby sendiri. Dari lelaki yang baru saja aku mahu jadikan seorang kawan. Dari lelaki yang baru saja aku samakan kisahnya dengan si pelacur dan anjing yang sedang kehausan di padang pasir. Aku menggelengkan kepala laju-laju. Mungkin aksiku itu melucukan hatinya sehingga dia tergelak dengan kuat.

“Kau rapat dengan aku pun sebab kau hanya nak rapat dengan Norah kan? Kau sedar tak diri kau tu siapa? Kalau kita bertiga ni dekat menara KLCC tu, aku dan Norah dah kat tingkat 88 tau, sedangkan kau tu kat bawah sekali. Cuma mampu pandang kita orang dari tasik tu je. Faham?”

Aku memandangnya dengan mata yang kecil. Syaitan, bisikku.

“Kau ingat Norah tu ada hati dengan kau? Kau ingat dia nak sangat berkawan dengan kau? Kalau tak sebab aku yang suruh dia baik dengan kau, dia pun tak ingin nak rapat dengan kau tau, kau sedar tak?!!”

“Kau tipu!”

“Alfie…Alfie…” Dia menampar pipiku berkali-kali. “Bangun! Susah betul nak fahamkan orang bodoh macam kau ni kan? Kau dengar amaran ni baik-baik. Mulai dari saat ini, aku tak mahu kau jumpa, atau rapat, atau berkawan, atau ada apa pun kaitan dengan kekasih aku tu lagi. Kalau kau terlupa macamana rasanya kena buli dulu, kau cubalah melawan amaran aku ni, OK?”

“Maknanya, selama ini kau yang tak nak sangat berkawan dengan aku kan? Eh, bukan. Kau yang tak nak sangat aku berkawan dengan Norah kan?”

“Baguslah kalau dah faham. Bijak pulak, aku ingatkan otak kau yang lebih kecik dari matanya ni dah tak boleh nak berfungsi dah.”

Aku menepis tangannya yang menunjal dahiku dengan keras.”Eh, Bodoh! Babi! Apa nama kau? Kau pergi berambus sekarang sebelum aku naik hantu. Ini Alfie tau, kau ingat aku siapa ha? Kau blah! Berambus sekarang!” Jeritku sekuat hati.

Dengan wajah selamba, dia beredar menjauhkan diri. Kemudian telingaku jadi panas apabila terdengar suara hilaian tawanya yang tak putus-putus. Panas sehingga tangan yang memegang bekas plastik tadi jadi kebas serta-merta. Segala sendi jadi lemah sehingga bekas plastik yang dipegang boleh terlepas jatuh ke tanah. Aku membongkokkan tubuh untuk mengutipnya semula. Di sebelahnya ada seketul batu kecil sebesar tiga jari. Aku kutip juga batu itu lalu membalingnya tepat ke belakang badan budak jahat itu. Ya, tepat mengenai belakang badan syaitan yang direjam itu.
******************************************************************************

Malam itu sekali lagi aku merenung ke siling. Otak seakan-akan menjadi roller coaster yang ligat berputar. Ada masa ianya ke kiri, adakalanya ke kanan, begitu juga naik ke atas, turun ke bawah, tunggang terbalik, boleh dikatakan ia membawa aku pergi ke semua arah, mencari jalan yang tidak sepatutnya aku tuju.

Ais yang aku balut di dalam tuala kecil warna biru sudah cair sehingga membuatkan hampir keseluruhan wajah termasuk mata kanan yang lebam, kebasahan. Aku bohong pada Mak siang tadi. Aku katakan padanya aku terlanggar tiang lampu ketika sedang leka mendongak langit dalam perjalanan balik ke rumah selepas sekolah. Dia mengaitkan insidenku itu dengan peribahasa lama, “jangan sesekali bersifat bongkak dan riak dengan anugerah yang tuhan beri.” Aku terpaksa bersetuju walhal jika dia tahu perkara yang sebenar harus aku dan Bobby (yang menumbuk mataku sebaik tubuhnya dibaling batu kecil tadi) dihadapkan ke muka pengetua sekali lagi esok.

Aku juga tidak memberitahu Norah apa sebenarnya yang berlaku. Aku tidak mahu diri ini terus terperangkap menjadi mangsa keadaan yang aku ciptakan sendiri. Cukuplah jika selama ini dia tahu aku sering berprasangka buruk terhadap Bobby jadi tidak perlulah aku menambah lagi alasan lain untuknya terus menganggap aku membenci buah hatinya itu.

Mata yang merenung ke siling memandang tepat kepada seekor “kawan lama”, si cicak yang dulunya aku lastik dan sembur dengan pewangi rumah. Setelah lama dia menghilang, akhirnya dia telah kembali datang memunculkan diri. Aku balingkan bantal kecil ke tepi dinding dengan niat untuk menghalau tapi seperti biasa dia tidak langsung menunjukkan rasa takut atau was-was. Malah yang lebih menyakitkan hati dia dengan bangganya berdecit seolah-olah tertawa keriangan melihat aku dengan wajah yang bodoh begitu.

Kemudian dia merangkak perlahan dua tiga tapak ke hadapan. Berhenti tepat di sebelah lampu betul-betul selari dengan arah pandangan mata. Aku rasa tercabar melihat raksasa kecil yang memang tebal dengan semangat pahlawannya itu. Pahlawan yang aku kira amat biadap kerana tidak menghormati wilayah atau jajahan pihak lawannya sendiri. Perlahan-lahan juga tanganku mengambil tali getah panjang yang aku gunakan untuk mengikat bungkusan kentang goreng yang sudah separuh terbuka tadi. Aku tarik tali getah itu panjang-panjang sehingga genting. Akhirnya aku biarkan ianya lepas laju menuju ke arah tubuh mangsa.

Pap! Tepat mengenai sasaran. Kali ini bukan diekor, tetapi tepat di kepalanya. Mungkin di otak hingga menyebabkan mangsa jatuh ke bumi. Aku pantas mencapai kamus setebal tiga ribu muka surat dan menghempuk tubuh mangsa yang masih terpinga-pinga kepeningan itu. Tubuhnya pecah berkecai dan setelah aku amati betul-betul, akhirnya aku berjaya juga mengesahkan bahawa cicak yang aku benci selama ini telah mati. Ya, mati.

Aku terdiam untuk seketika. Dada yang tercungap-cungap mengambil masa juga untuk kembali berdegup seperti normal. Aku tersenyum. Antara bangga dengan tidak. Apakah aku kini boleh digelar sebagai pembunuh? Soalku pada diri sendiri.

Ya, panggillah apa juga yang kau suka. Aku tak menyesal. Aku puas. Jawab diri sendiri ini penuh yakin.

Read Full Post »

Menurut guru sains kami, 97 peratus haiwan yang hidup di atas muka bumi ini dilahirkan tanpa tulang belakang atau lebih dikenali dengan nama saintisnya, Invertebrata. Aku mulanya sukar untuk menerima teori itu tetapi setelah melihat betapa lembutnya tubuh Norah meliang-liuk di tengah padang, menari dan melompat mengikut irama yang dimainkan, tanggapanku jadi berubah dengan serta-merta.

Begitu juga dengan teori Darwin. Mulanya aku menyangkal sekeras-kerasnya apabila teori itu mengatakan bahawa monyet berubah menjadi manusia mengikut proses evolusi tetapi apabila aku merenung di satu sudut padang yang lain menyaksikan sendiri bagaimana Bobby bersama pasukan bolanya sedang terkinja-kinja seperti kera yang dilumurkan belacan, aku mula percaya bahawa kemungkinan besar teori lelaki bernama Charles Darwin itu benar.

Aku masih duduk di atas kerusi kayu itu. Matahari makin meninggi. Makin lama seakan-akan sengaja berdiri tegak di atas kepala. Tisu yang Ayah berikan hasil dari sumbangan kecilnya kepada pasangan buta sewaktu kami sedang menjamu selera di gerai berhampiran rumah malam tadi sudah habis aku gunakan untuk mengesat peluh. Sebagai alternatif terakhir, aku gunakan beg sandang seberat hampir lima kilo yang aku bawa ke sekolah setiap hari sebagai payung untuk menutup kepala dari bahang kepanasan.

Demi Norah aku rela berpanas berhujan di tengah padang begini, kata hatiku. Benar kata si bijak pandai. Cinta itu sering menjadikan manusia itu buta. Buta mata, hati, dan perasaan. Pada yang tidak mampu menahan godaan, kebarangkalian untuk mereka menjadi buta untuk segala-galanya amat cerah. Aku tersenyum kecil apabila mengenangkan dua perkataan itu: Cerah dan buta. Bukankah ianya amat janggal untuk disatukan?

Cerah dan aku, lagi jauh menyimpang jika aku biarkan saja tubuh dibakar panas terik begini. Aku bukan Mat Saleh yang sanggup menyalaikan tubuh mereka di tepi pantai ataupun kolam renang. Aku masih tetap seorang Melayu yang tidak lekang dengan belacan di dalam lauknya. Belacan yang sama yang aku lumurkan pada tubuh kera-kera di tengah padang itu.

Tekak tiba-tiba terasa kering lalu aku melambai-lambai pada Norah dari jauh. Meminta untuk beredar seketika ke kantin. Sepantas kilat itu juga, aku nampak dia berbisik sesuatu kepada jurulatih soraknya. Sebaik wisel ditiup, dia berlari ke arahku. “Habis? Awalnya?” Aku bertanya dengan rasa yang penuh bangga. Hati tiba-tiba saja penuh dengan bunga-bungaan apabila tidak menyangka dia rela menamatkan latihannya petang itu kerana aku tidak mahu terus lagi berada di situ.

“Taklah. Time out for ten minutes jer,” jawabnya menyangkal apa yang aku sangka. “Awak dah nak balik ke?” Soalnya kepadaku yang mula melangkah ke vending machine berdekatan.

“Nah!” Aku menggelengkan kepala dan menghulurkan setin minuman berkarbonat 100 Plus yang dibeli dari mesin itu.

“Awak tak minum?” Soalnya lagi sambil menyedut straw yang tercucuk di dalam tin air minuman pemberi tenaga itu dalam-dalam. “Panas sangat kan hari ni?”

Aku tidak mampu untuk menidakkan kebenaran soalan itu. Menurut ramalan kaji cuaca dari berita yang aku tonton malam tadi, kebanyakan bandaraya yang ada di bumi Malaysia ini akan mengalami cuaca panas terik untuk beberapa minggu yang akan datang berikutan masalah pemanasan dunia yang berlaku. Peluh yang telah banyak merembes aku kesat sehingga kering. “Saya pesan teh ais, kejap lagi sampailah. Awak nak makan apa-apa ke? Nak share?”

“Nak, tapi takut tak sempat,” dia menarik tanganku memerhatikan waktu di jam.

“Banyak masa lagi,” aku menarik lenganku semula. “Latihan awak ni habis pukul berapa?”

Norah mengangkat bahu. “Ikut suka hati coach lah, biasa lagi sejam. Kenapa? Nak join kita orang lepak tasik buat homework?”

“Kita orang? Siapa kita orang tu?”

“Saya dan Bobby lah! Berdua saja!”

Aku benci melihat senyuman yang terukir ketika dia menyebut nama budak lelaki itu. Manis senyumannya tapi aku tetap memandangnya dengan jelik. “Tak apalah, petang ni kena balik awal. Mak saya cakap ada orang nak datang rumah hantar barang jadi saya kena tunggu,” dan tanpa dipaksa aku menolak pelawaan itu bulat-bulat dengan memberi alasan selemah yang mungkin. “By the way, saya ada benda nak bagi kat awak. Tak seberapa tapi saya harap awak suka,” sambungku sambil meraba-raba isi beg sekolah yang diletakkan di kerusi sebelah.

“Kad apa pulak ni? Kad kahwin ke?” Dia menyindir lagi. Perlahan-lahan dia membuka sampul yang berwarna merah jambu itu. Di wajahnya terpancar cahaya keriangan sebaik mengeluarkan sekeping kad comel yang terselit di dalamnya. THANX FOR THE ICE CREAM. LAIN KALI GILIRAN SAYA PULAK BELANJA AWAK, OK? Kata ayat yang aku tulis. “Aaahh… Tak payahlah susah-susah, Alfie…” Dia menekap kad terima kasih istimewa itu ke dada. Aku menelan liur, sungguh bertuah jadi kad terima kasih istimewa itu, kata hatiku nakal. Tiba-tiba wajahnya yang ceria tadi bertukar sedih. Matanya beralih menatap gambar dua ekor kucing pada muka hadapan kad tersebut dengan lama. Dia menakup muka beberapa saat kemudian.

Aku terkejut melihat perubahan mood yang mendadak sebegitu. Hati tertanya-tanya sama ada apakah dia terharu dengan kad yang diterima atau apakah ada sebab-sebab lain yang tidak aku fahami. “Awak tak suka?”

Dia terangguk-angguk.

“Maaf, saya tak tahu pula awak tak suka. Niat saya baik, saya hanya nak ucapkan terima kasih. Itu saja…”

“Eh, bukan! Maksud saya, saya suka!” Balas Norah kembali dengan menggeleng-gelengkan kepalanya. “Cuma kad ni mengingatkan saya pada kucing saya, Ming Ming.”

“Kucing awak nama Ming Ming? Kenapa dengan dia?”

“Dia dah hilang sejak bulan lepas. Puas saya cari tapi sampai sekarang masih tak jumpa-jumpa…”

Aku menepuk dahi dan merampas kad itu kembali. “Saya minta maaf, saya tak tahu…”

“Tak apalah Alfie. Bukan salah awak, saya pun tak ada beritahu sesiapa pasal Ming Ming. Anyway, terima kasih sebab sudi bagi saya kad ni. Cute!”

“Alfie apa yang kau dah buat ni sampai Norah nampak sedih je?” Bobby berteriak dari belakang. Aku menepuk dahi sekali lagi. Rasa kesal memberi kad terima kasih tadi makin jadi bertambah sesal apabila mendengar suara itu tiba-tiba muncul entah dari mana. Dia melabuhkan punggung dan mengusap rambut Norah. “Kenapa?” Soalnya lembut tetapi ianya tidak berbalas. Kemudian, dia merampas kad yang aku pegang dan membacanya sekuat hati. “Thanks for the ice cream? Awak? Awak sakit perut lepas makan aiskrim dengan dia ke? Bukan? Habis tu? Oh!” Dia merenung wajah dua ekor kucing yang terpampang di muka depan kad itu. “Ming Ming?!! OMG. Sayang, saya minta maaf untuk dia, OK. Alfie tak tahu pasal Ming Ming. Maafkan dia, OK?”

“Jadi saya seorang saja ke yang tak tahu pasal Ming Ming awak ni, Norah?”

“Aku seorang saja yang tahu. Itupun sebab aku datang makan kat rumah dia hari tu. Parents dia yang cakap…”

Hatiku makin panas. Sepanjang aku mengenali Norah belum pernah sekalipun aku dipelawa untuk datang bertandang ke rumahnya, apatah lagi untuk menjamu selera bersama ahli keluarganya yang lain. Aku rasa seperti ketinggalan, dipulau, dan dianaktirikan oleh “teman wanita” sendiri. Tidak. Aku tidak boleh membenarkan diriku ditinggal, dipulau, atau dianaktirikan oleh “teman wanita” sendiri.

“Lain kali kalau nak bagi barang biarlah yang tak ada unsur-unsur negatif ataupun sensitif, Alfie. Macam ni…” Bobby mengeluarkan sebatang sepit rambut warna belang kuning dan hitam menyerupai bentuk seekor tebuan dari dalam beg sekolahnya.

Wajah Norah yang muram tadi kembali bertukar ceria. “Comelnya! Terima kasih, Bobby!” Ucapnya riang seperti anak kecil yang baru diberikan mainan. Aku tidak pasti reaksi yang bagaimanakah yang harus aku tunjukkan ke atas keceriaannya itu. Bibir yang cuba untuk menguntum senyum juga seakan-akan berat untuk bergerak. Mungkin ianya jadi bebal kerana hati dan otak makin panas mendidih.

Tidak lama kemudian, kedengaran tiupan wisel bertalu-talu dari tengah padang. Kedua-dua pasangan kekasih awal dan akhir itu mula meminta diri untuk beredar. Aku biarkan saja mereka pergi tanpa ada sedikitpun rasa kecewa di dalam hati. Bohong jika aku katakan aku tidak berasa sedih apabila mengenangkan barang pemberianku tidak dihargai tetapi sekurang-kurangnya aku telah mempelajari sesuatu. Sepit rambut berbentuk seperti tebuan lebih tinggi nilainya dari sekeping kad terima kasih bergambar Ming Ming buat Norah. Aku perlu lebih peka dan sensitif.

Air teh ais yang dipesan tiba sebaik aku mengangkat beg untuk turut sama meninggalkan kawasan kantin itu. Aku duduk kembali dan meneguk air manis itu sehingga habis. Dahaga. Itu saja satu perkataan yang aku mampu katakan dalam cuaca panas terik sebegini. Gelas yang mengandungi sisa-sisa ketulan ais beku yang hampir cair itu aku biarkan saja di atas meja. Tangan kembali mengangkat beg. Punggung dikesat untuk menghilangkan habuk yang melekat dari kerusi. Baru dua tiga langkah aku menapak, tiba-tiba langkahku terhenti. Dari jauh aku terlihat Halimatunsaadiah diheret oleh bapanya keluar dari bilik guru. Dia menangis teresak-esak sementara bapanya menampakkan wajah bengis yang cukup garang.

Semua yang berada di padang waktu itu berhenti berlatih. Begitu juga yang sedang duduk berbual di kantin, yang sedang berdiri di kaki lima, yang sedang bermain di dalam makmal sains, ataupun yang sedang ke hulu-ke hilir tanpa arah tujuan yang tersendiri. Lima minit saja masa yang perlu diambil untuk masing-masing berkumpul di tepi jalan menyaksikan drama sebabak itu. Dan lima belas minit seterusnya mereka semua ditinggalkan dengan satu pertanyaan…

“Kenapa dengan Halimatunsaadiah tu agaknya, ya?”

Read Full Post »

Hari itu hari Ahad. Hari cuti untuk seisi keluarga. Aku seperti biasa, memilih untuk bangun lambat sedikit berbanding dengan lima atau enam hari-hari yang lain dalam seminggu. Sebaik terjaga dari tidur, aku terus ke dapur untuk membuka tudung saji mencari apa yang boleh diisi ke dalam perut. Ada satu jag teh tarik yang masih panas dan beberapa bungkus nasi lemak yang mungkin dibeli dari gerai Mak Tam di tepi perhentian bas.

Ayah pagi-pagi lagi sudah menghilangkan diri. Aku sudah dapat menduga, dia setentunya kini sedang menghabiskan beberapa pusing larian di taman tasik berdekatan. Orang tua lelaki itu memang sibuk melibatkan diri dalam aktiviti yang menyihatkan tubuh badan sejak akhir-akhir ini. Khabarnya dia juga sudah mula merenggangkan diri dengan rokok setelah bertahun-tahun menjadi hamba kepada benda perosak itu. Dan sebagai anak yang sentiasa mendoakan kesihatan ibu bapanya, aku berbangga dengan keputusan yang dibuat.

Mak pula, menjalani tanggungjawab menjadi seorang ibu dan isteri, sudah turut sama hilang dari pandangan mata. Mengikut firasat aku, dia sedang berkumpul dengan para ibu yang lain di hadapan rumah Adi Husin kerana di situ lori Ah Yong akan berhenti untuk menjual sayur-sayuran dan barang dapurnya.

Selepas bersarapan, aku ke belakang rumah untuk mengambil tuala yang tersangkut di atas penyidai baju. Kenzo, anak anjing jenis Maltese kesayangan jiran di sebelah rumah yang sibuk menyalak dengan suara halusnya tidak langsung aku hiraukan. Dia memang begitu. Gemar menyalakkan sesiapa yang saja tidak dikenali walaupun sudah bertahun-tahun kami sekeluarga menetap di situ.

Aku melangkah masuk dan terus ke ruang tamu. Televisyen masih menyala walau tiada siapa yang menonton. Kemudian, aku beralih ke dapur. Sunyi sepi. Mak masih berbual dengan “surirumah terdesak” yang lain, rungut hatiku. Mata menjeling pula ke arah jarum jam di dinding. Sebelas pagi dan Ayah masih juga belum pulang. Aku makin bengang dan kaki terus melangkah ke bilik air tidak lama selepas itu.

Sepuluh minit kemudian, aku selesai menyucikan diri. Dengan bertuala saja, aku meluru ke ruang tamu semula. Keadaan di situ masih lagi sama seperti tadi. TV yang menyala akhirnya aku padamkan. Aku duduk sebentar di atas sofa. Menunggu. Lima minit. Sepuluh minit. Lima belas minit masa berlalu, akhirnya aku kembali ke dalam bilik. Hampa.

Di dalam bilik, aku buka pintu almari luas-luas. Aku capai baju kemeja T warna hijau pekat dengan logo Superman di dadanya. Dipadankan pula dengan seluar pendek paras lutut warna krim. Aku raba di dalam saku seluar pendek itu untuk mencari sesuatu. Usahaku tidak membuahkan hasil apabila aku hanya terjumpa gumpalan habuk yang terkumpul kesan dari cucian dari mesin basuh. Selesai menyarungkan pakaian itu ke tubuh, aku berdiri di balik pintu dan mula menyelak saku setiap satu seluar dan baju yang tergantung di situ.

Saku pada dua helai seluar jeans kosong tidak berisi. Saku baju sekolah hanya mengandungi siling sepuluh sen yang tersorok di celah lipatan kalendar kecil. Tangan dan mata memeriksa pula saku pada seluar sekolah. Ada siling dua puluh lima sen di dalam saku depan sebelah kanan, lima belas sen pada saku depan sebelah kiri, beberapa keping tiket bas lama dan nota buruk pada saku belakang kiri, dan dompet kosong di dalam saku belakang sebelah kanan.

Aku lantas teringat kata-kata Ayah. Sebaik-baik ucapan untuk memenangi hati seseorang ialah ucapan terima kasih. Kata Mak pula, jika mahu ucapan terima kasih itu istimewa ianya hendaklah ditulis di dalam sekeping kad yang cantik. Aku ambil kata-kata azimat mereka berdua itu untuk dipertimbangkan tetapi setakat ini aku hanya lima puluh sen saja yang berjaya dikumpul. Aku perlukan sekurang-kurangnya dua ringgit untuk membeli kad ucapan terima kasih yang dijual di kedai buku Nana Chantek sebelah pasaraya Yin Yang itu.

Bunyi hentakan daun pintu yang kuat membuat aku teruja untuk melihat siapa yang pulang. Dengan sepantas kilat, aku berlari menuju ke ruang tamu. Aku hampa lagi. Tiada bayang mahupun batang hidung mana-mana manusia yang kelihatan. Mungkin angin kuat yang menolak daun pintu dapur yang ternganga tadi, tekaku. Hatiku bertukar marah. Aku memeluk tubuh dan menunggu kepulangan ibu bapaku di situ.

Bagaikan terpanggil dengan doa yang dipohon, tiba-tiba Mak muncul dengan tangan yang penuh. Ayah yang membontoti dari belakang juga turut sama menjinjing barang-barang keperluan rumah. Di tangannya ada satu plastik besar berisi enam gulung kertas tisu, satu plastik berisi sebotol jus oren dan kordial sarsi, dan satu plastik lagi berisi buah-buahan campuran. “Ayah dengan Mak pergi mana? Ah Yong dah ada jual tisu ke sekarang?” Soalku dengan muka yang berkerut. “Alfie tanya ni, tak dengar ke?” Soalku sekali lagi apabila masing-masing seakan-akan tidak ambil peduli. Aku geram. “Mak, Alfie nak duit,” pintaku perlahan sambil merenung tas tangannya di atas meja. Mak hanya mendengus marah. “Ayah, Alfie nak duit!” Aku meninggikan suara, merengek pula kepada orang tua lelakiku itu namun sekali lagi permintaanku tidak dilayan.

Akhirnya aku membuat keputusan sendiri. Aku berlari masuk ke dalam bilik tidur mereka. Katil empuk masih lagi kusut tidak berkemas. Pakaian-pakaian kotor masih lagi berlonggok di dalam bakul. Aku mengintai di balik pintu. Tiada pula pakaian yang tergantung. Bagaikan anjing pengesan, aku mula menghidu. Mata juga pantas berputar ke kiri dan kanan dan akhirnya ia tertumpu kepada dompet kulit Ayah yang elok saja terletak di atas meja kecil di sudut tepi katil. Aku buka dompet tebal warna hitam itu. Ada beberapa keping wang kertas di dalamnya. Seringgit, lima ringgit, sepuluh ringgit, dan akhirnya aku menarik nota lima puluh ringgit keluar.
******************************************************************************

Aku menunggang basikal menuju ke kedai buku Nana Chantek yang terletak di sebelah pasaraya Yin Yang itu. Tidak berapa jauh sangat lokasinya dari rumahku tetapi dengan cuaca yang agak sedikit terik, otakku bagai sengaja mengajar untuk aku jadi malas berjalan. Tiba di satu simpang, aku terlihat Halimatunsaadiah sedang duduk termenung di atas salah satu bongkah simen di situ. Aku memperlahankan kayuhan, melambaikan tangan dan cuba untuk menegurnya tetapi lambaianku itu dibalas dengan wajahnya yang murung. Aku berhenti, “Kau tak apa-apa ke?” Soalku menunjukkan rasa prihatin dan dia cuma menggeleng.

Aku sambung kayuhan kembali terus ke kedai buku itu. Tiba di sana, aku melihat keadaan di dalamnya agak semak dan sempit. Ada beberapa orang pekerja sedang menyusun stok-stok baru yang diterima ke atas rak-rak yang melekat di dinding. Aku berulang-alik mencari kad terima kasih yang ringkas dan cantik yang bersesuaian untuk diberikan kepada seseorang yang cukup istimewa. Setelah sepuluh minit aku di situ menyaksikan pelbagai rupa pelanggan yang datang dan pergi, aku masih tidak dapat membuat keputusan yang tepat. Ada tiga keping kad yang berbeza di tangan. Ketiga-tiganya mempunyai keunikannya yang tersendiri. Satu kad tertulis ayat yang berbunyi, “I would thank you from the bottom of my heart, but for you my heart has no bottom,” satu lagi berkata begini, “No duty is more urgent than that of returning thanks,” dan kad yang terakhir, warna merah jambu, mempunyai lakaran hati dan dua ekor kucing yang sedang bercium berkata, “Saying “thank you” creates love.”

“Cari apa?” Tanya salah seorang pekerja di situ tiba-tiba dengan soalan yang tak masuk akal.

Aku terkejut. “Kad? Awak tak ada jual aiskrim kan?” Soalku kembali, memerli.

“Aiskrim kat pasaraya sebelah.”

Aku tersenyum mendengar jawapan itu. Mata merenung tajam ketiga-tiga kad di tangan dan akhirnya aku memilih kad kucing itu sebagai kad terima kasih istimewa untuk seseorang yang istimewa. Harganya lima ringgit lima puluh sen. Aku tidak menyangka ianya bakal semahal itu. Mujur aku membawa sejumlah wang yang agak besar.

“Banyak duit, ayah tau ke awak bawa duit besar ni?” Tanya pekerja di kaunter pula sambil memeriksa kesahihan wang kertas itu di sebalik mesin kecil yang mengeluarkan sinar biru.

“Ayah yang bagi. Dia suruh beli untuk Mak,” aku berbohong. Cepat-cepat aku rampas wang baki yang diberi dan berlari ke pasaraya di sebelah untuk membeli sebatang aiskrim potong berperisa jagung pula.

Aku kembali menunggang basikal untuk pulang ke rumah. Tiba di simpang yang sama, aku nampak kelibat Halimatunsaadiah masih lagi duduk termenung di situ. Lamunannya jauh, seolah-olah seperti seseorang yang berada di dalam masalah. Aku berhenti mengayuh dan mengambil keputusan untuk berbual dengannya sedikit. “Sorry, ada satu je, nak share?” Aiskrim potong berperisa jagung itu sengaja aku tunjukkan padanya.

“Tak apalah, macam dah nak cair dah tu. Baik kau makan cepat-cepat,” jawabnya perlahan.

Aku bersetuju. Sambil aku leka menjilat aiskrim manis itu, mataku masih sempat lagi merenung ke arahnya yang masih kelihatan muram. “Kau ada masalah ke?”

Dia membetul-betulkan anak rambut yang terkeluar di bucu tudung. “Tak ada apa-apalah, saja aku duduk sini ambil angin,” balasnya serius.

Aku tahu dia berbohong.

“Kau pulak ke mana tadi?” Soalnya kepadaku pula.

“Aku pergi kedai buku Nana Chantek tu. Beli kad terima kasih untuk Norah.”

“Apa yang dia dah buat kat kau sampai kau nak kena bagi dia kad pulak?”

“Macam-macam. Sokongan, dorongan, pertolongan…”

Dia menyampuk, “aku selalu jugak tolong kau dalam kelas tapi tak ada pun dapat kad?”

Aku menelan liur.

Dia menggeleng-gelengkan kepala. “Aku dah agak dah kau memang suka kat dia. Kau tau kan dia dah rapat dengan Bobby sekarang?”

Aku mengangguk.

“Dah tu? Buat apa kau nak kacau? Kau sedar tak, tak baik merampas kebahagiaan orang? Lagipun, no offense ya, aku tak rasa kau ada peluang kalau nak dibandingkan dengan Bobby.”

“Mana kau tau dia bahagia? Mana kau tau hubungan tu bakal kekal sampai bila-bila? Mana kau tau aku tak ada peluang langsung? Sebab aku tak sehensem Bobby? Sebab badan aku kecil? No offense, jangan samakan badan kau yang debab ni dengan kekurangan aku sebab walau aku macam ni pun, aku tetap nak diri aku ni sama macam orang lain.”

“Alfie!” Jeritnya menahan aku dari terus beredar. “Good luck lah atas cita-cita murni kau tu tapi aku cuma nak ingatkan kau satu benda je. Hidup kena realistik. Jangan sesekali kita terlalu yakin sangat dengan apa yang kita nak buat. Jangan jadi macam aku…”

Aku mendengus, “trust me, aku tak akan jadi macam kau tapi terima kasihlah atas kata-kata nasihat kau tu. Esok lusa aku bagi kau kad terima kasih pulak, eh?” Sempat aku menyindir sebelum mencapai kembali basikal yang aku sandarkan pada tiang lampu tadi dan terus memecut laju.

Read Full Post »

Lusanya aku telah pulih seperti biasa. Tiada lagi rasa sengal-sengal pada otot perut mahupun rasa pedih yang menyucuk-nyucuk di dalam usus. Aku kembali menjalani kehidupan sama seperti remaja lain. Loceng pada alat penggera berbunyi jam tujuh pagi, mandi dan bersiap untuk ke sekolah, dan kemudiannya duduk di ruang tamu atau di meja makan sambil menghadap muka Mak yang membebel di dapur, merenung wajah Ayah yang tekun memilih tali leher yang sesuai untuk dipadankan dengan warna baju, dan mengenang nasib diri yang masih mengharapkan cinta yang telahpun kecundang. Agghh!!! Hatiku menjerit kuat apabila memikirkan sampai bilakah rutin harian ini akan berakhir.

Tepat jam 7.30 pagi, aku tiba di hadapan pintu kelas. Kelihatan rakan sekelas yang lain menjerit keriangan menyambut ketibaanku pagi itu. Aku perhatikan wajah masing-masing. Ada yang tersenyum lebar, ada yang tergelak besar, dan tak lupa juga yang menjerit kuat. Kemudian, mataku melirik pula ke arah sepasang merpati dua sejoli, Bobby dan Norah. Berbeza suasananya, mereka berdua kelihatan tidak seceria yang lain. Aku duduk, memandang kedua-duanya, tersenyum dan tanpa segan silu terus melambaikan tangan. Sengaja aku ambil pendekatan yang berbeza setelah mengetahui cerita yang sebenar dari mulut Norah sendiri semalam. Aku tidak mahu kelihatan kekok seperti mereka berdua. Aku seorang pejuang kini dan sifat seorang pejuang itu tidak akan sesekali menunjukkan sebarang tanda kekalahan walaupun dia sendiri telah menyedari bahawa dirinya bakal tersungkur menyembah bumi.

Tak lama kemudian, Bobby datang ke arahku dengan senyuman yang sedikit pahit. Sambil mengurut-urut bahu, dia meminta maaf di atas segala kecelakaan yang telah berlaku. “Aku tak tahu pulak mee hailam mak aku tu dah basi. Kau tak anggap aku nak racun kau kan?” Soalnya.

“”Ish, tak lah! Aku tak rasa kau dah segila tu!” Jawabku dengan senyuman yang penuh sinis. Mustahil aku boleh bersetuju dengan kata-kata yang baru keluar dari bibir “munggil” ini tadi.

Dia mengurut dada, barangkali lega dengan kata-kata yang baru didengar. “So, kita masih kawan kan?”

“Tentulah,” jawabku berbohong lagi. “Cuma seelok-eloknya kalau kita nak berkawan tu biarlah kita berkawan dengan jujur dan ikhlas. Tak gitu?”

“Maksud kau?”

“Tak adalah. Aku cuma pelik sikit. Kalau kita berdua makan benda yang sama, kenapa aku seorang je yang sakit?” Aku memicit dagu sambil mengangkat kedua-dua belah bulu kening setinggi yang mungkin.

Bobby mengetap bibir, “entahlah. Aku pun pelik,” jawabnya ringkas sebelum beredar kembali ke tempat duduknya sebaik saja guru kelas kami, Puan Letchumy melangkah masuk sambil membetul-betulkan kain sarinya yang labuh.

Jujur dan ikhlas sangat jawapan kau kan? Soalku semula di dalam hati. Mata terus memerhatikan langkahnya berlalu pergi tanpa berkelip. Nampaknya dia bikin aku panas sekali lagi.

Petang itu sebaik loceng tamat persekolahan berbunyi, Norah sudahpun tercegat berdiri di hadapan mata. Aku tercari-cari juga wajah buah hati kesayangannya namun usahkan kelibat tuan empunya diri, bayangnya pun tidak kelihatan. Aku lantas sibuk mengemas, berpura-pura tidak mengendahkan kewujudannya di situ. Apabila ditegur, aku hanya menganggukkan kepala saja. Dari tepi mata, aku sedari dia kelihatan hampa sedikit. Biarkan, hampanya itu tidak setimpal dengan kehampaan yang aku telah alami. Dia kemudiannya cuba menghulurkan tangan dengan mengangkat buku-buku yang aku susun di atas meja dan memasukkannya ke dalam beg sekolah. “Terima kasih,” jawabku sebelum menyandang beg seberat dua kilo itu ke bahu.

“Apa plan awak petang ni?”

Dating dengan awak? Jawab hatiku yang nakal tetapi mujur bibirku bijak untuk memberikan jawapan yang lebih relevan. “Tak ada buat apa-apa.”

“Jom makan aiskrim? Dah lama kita tak lepak berdua, kan?”

Aku merenung tepat wajah gadis itu dengan seribu satu persoalan. Entah kenapa lidah jadi kelu dengan serta merta hinggakan tiada sebarang jawapan yang mampu untuk diucap. Mungkin aku keliru. Mungkin juga aku terkejut. “Boyfriend awak tak jealous ke nanti? Awak dah beritahu dia ke belum?”

“Boyfriend? Maksud awak, Bobby?”

“Berapa ramai lagi boyfriend yang awak ada?”

“Awak pun boyfriend saya jugak, Alfie…”

“Iya lah tu…” Aku menjeling, meluat sedikit melihat tawanya yang gedik.

“Tak ada sebab dia nak cemburu Alfie. Saya dengan dia cuma kawan karib saja, belum lebih dari itu lagi. Lagipun saya nak keluar dengan awak, kawan baik saya sendiri, bukan dengan lelaki manapun takkan itupun dia nak marah…. Ke awak ni saja cari alasan tak nak keluar dengan saya?”

Tubuhku tiba-tiba menjadi kaku apabila lenganku disentuh oleh jari-jemari halusnya itu. Kedua-dua belah kelopak mata juga sudah tidak mampu untuk berkelip lagi. Aku kekejangan. Mahu saja aku menjerit sekuat hati namun gigi seakan-akan terkancing kuat. Aku mula ketakutan. Apakah aku kini berada di dalam koma? Mak! Tolong tampar pipi anakmu ini!

“Alfie! Alfie! Awak tak apa-apa ke?” Soal Norah lagi sambil menggoncang tubuhku dengan kuat.

Tiba-tiba darah kembali datang mengalir ke seluruh badan. Rasa seram sejuk yang menyerang diri tadi juga telah hilang hingga membuatkanku berpeluh. “Ya, ya, saya tak apa-apa. Jom makan aiskrim. Saya kepanasan,” jawabku pantas dan terus menarik lengannya keluar.
******************************************************************************

Rasa nyaman mengunyah aiskrim kon berperisa cokelat di bawah terik mentari tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Angin yang meniup lembut sambil disaksikan oleh sepasang labi-labi yang tekun mencubit rumpai dan lumut yang terapung di atas tasik warna hijau itu menambahkan lagi seri pada mata yang memandang. Itu belum lagi bukit-bukau yang dilitupi dengan bunga-bungaan liar yang berselerak di atas permukaannya, skuad berkuda Dewan Bandaraya yang menunggang kuda-kuda besar warna hitam, putih dan perang, dan burung-burung hutan pelbagai saiz dan warna berkicau menyanyikan lagu-lagu merdu yang hanya mereka fahami. Cukup saujana. Dan yang lebih mensaujanakan kedua-dua biji bebola mataku lagi apabila Norah ada duduk di sebelah. Bibir merahnya yang sedang menggigit kekacang dan lidahnya yang menjilat cokelat cair yang meleleh di tepi kon benar-benar menimbulkan rasa gelisah di dalam diri.

“Ada cokelat kat tepi bibir awak. Bibir bawah kat belah kiri,” aku menuding jari telunjuk dekat pada tempat yang disebut. Mahu saja aku menyentuh bibir yang comot itu. Akanku usap lembut sehingga bersih seperti sediakala. OK, cukup Alfie. Tolong letakkan kaki anda kembali ke bumi yang nyata. Ya, tolong.

Norah tersenyum simpul, malu-malu mengesat bibirnya dengan tisu wangi yang tersimpan didalam beg. Dia m
enghulurkan sekeping tisu wangi itu kepadaku. “Bibir awak pun, bawah hidung dengan dagu. Kat pipi pun ada sikit. Ada satu dot kecil. Hehe,” katanya masih kekal dengan senyuman yang manis.

Aku tergelak besar. Tisu yang diberi itu aku cium dalam-dalam. “Wangi, sayang nak pakai,” kataku sebelum berubah fikiran dan menyentalkannya ke seluruh kawasan wajah.

“Awak pernah terfikir kenapa lalat suka pada yang busuk?”

Aku mengecilkan mata, mencari jawapan yang sesuai. “Hmm…mungkin sebab lalat bukan manusia, kot? Manusiakan hanya suka pada yang wangi-wangi, yang elok-elok saja, kan?”

Norah mengangguk, bersetuju. “Manusia memang terkenal dengan sifat shallow kan? Yang buruk-buruk, yang busuk-busuk, semua nak tolak ke tepi. Macam seolah-olah diri sendiri dah cukup bagus.”

“Betul. Sampaikan kadang-kadang kita terlupa benda-benda yang busuk dan buruk di luaran itulah yang wangi dan elok di dalamnya. Macam…”

“Macam Bobby?” Pintas Norah dengan lirikan manja.

Aku mengerut dahi. Jauh sekali terlintas di dalam hati untuk menyebut nama budak lelaki itu. Aku mengharapkan diri sendiri, pria yang serba kekurangan ini yang dijadikan contoh. Ataupun setidak-tidaknya nama orang lain. Nama Jambul, Leman, ataupun Kassim Selamat, nama sesiapa saja. “Macam Bobby? Kenapa?” Tapi bukan nama dia.

“Orang selalu nampak dia jahat, nakal, tapi sebenarnya dia seorang yang lembut, baik hati, sopan santun, dalam hati siap dia ada taman, awak tau tak?”

Aku makin mencebik. “Macam taman tasik ni? Hijau berlumut?”

“Tidak. Lebih kepada biru. Tenang sebab dia romantik. Awak tau tak dia selalu surprise kan saya dengan hadiah-hadiah kecil macam cokelat, bunga, teddy bear, baju…”

“Banyak duit dia? Dia curi duit siapa?”

“Duit belanja yang parents dia bagi lah. Awak ni tak baik tuduh dia mencuri, tau!”

“Manalah tau. Dulu pun selalu pau duit saya jugak. Pau bekalan makanan saya. Patutlah kat rumah pun makan mee hailam basi, rupa-rupanya taburkan duit untuk belikan hadiah…”

“Alfie! Tak baik awak cakap macam tu. Yang dah lepas tu, lepas lah lagipun awak cubalah sokong saya sikit. Kan saya ni kawan baik awak!”

“Iyalah, iyalah,” jawabku geram sambil mengurut bahu yang sakit ditumbuk.

Tiba-tiba kami didatangi oleh dua kanak-kanak kecil. Seorang lelaki dan seorang lagi perempuan. Yang lelakinya hanya berkemeja T lusuh dan berseluar pendek sementara si perempuan berbaju kurung warna ungu dan bertudung singkat ala gaya Dato Siti. Di tangan mereka memegang beberapa keping ayat-ayat Al-Quran serta buku-buku agama untuk dijual. Aku tertarik kepada cara kanak-kanak itu menarik minat kami untuk membeli. Semua pelan pemasarannya telah diatur dengan baik.

Kata kedua-dua adik beradik itu, pendapatan keluarga kini ditanggung oleh mereka berdasarkan pendapatan yang diterima hasil dari jualan ayat-ayat Al-Quran serta buku-buku agama ini setiap hari. Kisah sedih mereka dimulakan dengan nasib yang menimpa mereka dua beradik kerana dibesarkan di dalam keluarga yang susah. Disusuli pula dengan bencana yang menambahkan beban apabila bapa mereka terlantar lumpuh di rumah akibat terjatuh dari tiang lampu sewaktu menggantung bendera di musim pilihanraya. Dan akhirnya disudahi dengan drama sedih sebabak dengan menceritakan perihal ibu mereka pula yang terpaksa berhenti kerja di kilang apabila paru-parunya telah dijangkiti kuman.

Aku ketawa besar. Bukan sengaja mahu mengejek, jauh sekali tidak berasa simpati. Tetapi aku tahu kata-kata itu hanyalah kata-kata halus taktik perniagaan untuk memancing hati pelanggan. Norah bagaimanapun menjeling marah melihat aku kelihatan biadap begitu. Dia lalu mengeluarkan wang kertas sepuluh ringgit dari dalam dompetnya dan menyerahkannya kepada si perempuan. “Tak payah baki, kakak sedekah,” katanya apabila menyedari buku agama nipis yang dibeli itu hanya berharga kurang dari lima ringgit.

Aku ketawa lagi dan kali ini tawaku benar-benar mengundang kemarahan. Dia menganggap aku tidak sensitif dengan nasib malang yang menimpa kedua-dua kanak-kanak tersebut. Aku menggeleng-gelengkan kepala. “Saya bukan gelakkan budak-budak itu lah!” Kataku membela diri.

“Habis tu?”

“Tengok dompet awak, habis kena aiskrim. Baju awak pun sama. Dah kena sikit. Awak dah nampak comot macam budak-budak tadi.”

Norah terkejut lalu menyuruhku memegang dompetnya sementara dia mengesat baju sekolahnya yang sudah kotor. Aku mula mengambil peluang yang diberikan itu untuk membelek isi kandungan di dalam dompet yang diberi. Ada beberapa keping wang kertas seringgit, kad pengenalan, dan sekeping gambar berukuran paspot. Aku keluarkan gambar itu lalu mengesat kesan aiskrim yang terkena dengan tisu. “Cantik,” ucapku sepatah sambil merenung wajah manis itu dengan senyuman.

“Apa ni tengok gambar orang?”

“Ada beberapa ringgit je yang tinggal, cukup ke untuk makan esok ni? Kan elok kalau awak ambil je baki tadi…”

“Kan saya dah kata sedekah? Eh, dahlah! Bak sini dompet saya balik. Semualah awak nak geledah, eh?”
Aku ketawa, nakal. “Jom balik?”

“Jom!”

Petang itu kami berdua pulang dengan berjalan bersama. Aku gembira. Mungkin ini yang dikatakan orang keindahan di alam percintaan. Haha! Aku ketawa sendiri. Sah! Aku memang sudah angau. Masakan aku boleh jatuh cinta dengan orang yang sudahpun jatuh cinta dengan orang lain?

Ah! Ini hanya cinta remaja. Cinta remaja takkan kekal lama pun kan? Kan? Kan? Soalku menyedapkan diri sendiri.

Read Full Post »

Older Posts »