Jam dua petang keesokan harinya pula aku masih lagi terlantar sakit di atas katil. Ubat pil Po Chai dan Chi-Kit Teck Aun sudah berbotol-botol ditelan namun rasa pedih itu masih ada walaupun ianya sudah berkurangan berbanding semalam. Mak memberi petua seperti yang diajar oleh orang tuanya. Dia menyuruhku meminum air kopi hitam pekat untuk menghentikan air perang kehitaman yang tidak henti-henti keluar dari lubang dubur. Ayah pula melarangku dari memakan atau meminum benda-benda yang berasid seperti jeruk atau jus oren kerana katanya itu akan memaksa perut mempercepatkan lagi proses penghadaman. Aku yang agak kurang arif dengan hal-hal sains dan kedoktoran sebegini hanya mengikut saja tetapi alhamdulillah, nampaknya petua mereka berdua itu terbukti mendatangkan hasil.
sekembalinya dari klinik, doktor ada juga memberikan sebotol ubat cecair warna putih untuk diminum serta beberapa paket butiran pil dan kapsul untuk disumbat ke dalam anak tekak. Kata doktor berbangsa India itu, aku mempunyai simtom-simtom diarrhea atau keracunan makanan yang tidak berapa kritikal. “Saya keracunan makanan?” Soalku dengan wajah penuh ketakutan walaupun doktor itu baru menyebut perkataan tidak berapa kritikal atau tidak membahayakan lebih dari tiga kali.
Sambil menggaru-garu batang hidungnya yang tajam, dia cuma mengangguk dan meminta aku untuk bertenang. “Ya,” jawabnya. “Tapi seperti yang saya dah kata, ianya tidaklah membahayakan. Sikit saja ni,” tambahnya lagi. “Awak ingat apa yang awak makan semalam?”
Tup! Sepantas kilat bayang wajah Bobby jelas di depan mata. Walaupun aku sering menganggap otak yang ada dalam kepalaku ini lebih kecil dari kedua-dua biji mata yang tidak berapa bulat ini tetapi aku tidak pernah menidakkan kemampuan kotak simpanan memorinya untuk berfungsi dengan baik. “Ya, rumah Bobby! Kawan saya! Errr.. Bukan kawan saya. Kenalan! Ya! Kenalan saja. Kenalan yang tak berapa baik…”
Doktor mengerutkan dahi, “kawan ke kenalan?”
“Kenalan! Ah! Tak kisahlah! Dia letak racun dalam makanan saya ke doktor?”
Dari kebingungan tadi, aku nampak wajah doktor lelaki India berhidung tajam itu bertukar ceria. Dia tersenyum lebar sambil memandang tepat ke wajahku yang penuh keyakinan. “Kenapa dia nak letak racun dalam makanan awak?”
“Sebab dia tak suka saya!” Jawabku serius.
“Kalau dia tak suka awak, kenapa awak boleh ada dekat rumah dia?”
…sebab Norah suruh…
…sebab dia nak berkawan dengan saya….
…sebab saya bodoh?…
“Sebab….Ah, rumit!!” Aku cuba untuk mencari jawapan yang lebih sesuai namun otak yang ligat berfungsi tadi seakan-akan gagal untuk mencernakan segala alasan yang pernah terlintas di dalam kepala.
“Rumit?” Doktor lelaki berbangsa India itu akhirnya tergelak besar. Kemudiannya, dia membelek segala butiran peribadi yang tertulis di dalam rekod perubatan di atas mejanya. “Mohamad Alfie bin Aidit Saleh?”
“Ya.”
Dengan mata yang masih menunduk ke bawah, dia menarik nafas panjang. “Kalau baru tiga belas tahun dah ada masalah yang sebegitu rumit, saya tak tahu masalah jenis apa yang awak bakal ada bila dah sebaya dengan saya nanti…”
“Masalah yang rumit datang tak kira usia, doktor…”
“Dah! Awak boleh keluar sekarang. Tunggu nurse pangggil untuk bagi awak ubat. Awak nak MC sekali?”
Aku mengangguk lalu menolak kerusi ke belakang sedikit untuk bangun dan melangkah keluar. Baru saja aku berpaling, dia sempat memanggil namaku semula.
“Mohamad Alfie bin Aidit Saleh!”
“Ya!”
Dia mengangkat matanya sedikit, “tak ada masalah dalam dunia ni yang tak boleh diselesaikan. Baik kecil mahupun besar. Ingat tu!” Pesannya sebelum kembali menundukkan wajah.
Aku masih simpan lagi kata-kata pesanannya itu di dalam hati. Sepertimana yang terjadi di antara aku dan Bobby, aku terpaksa mengakui bahawa manusia yang mencetus masalah itu juga harus tahu di mana punca dan jalan penyelesaiannya. Tanpa berlengah, aku lantas mencapai pen dan sekeping kertas lalu aku tulis “Bobby Jahat,” “Bobby Busuk Hati,” “Bobby Babi,” sebanyak mana yang mungkin. Dimulakan dengan rasa geram, marah, sedih, dan akhirnya kecewa dengan tulisan kecil, tulisan besar, dan contengan-contengan cakar ayam. Pelbagai perasaan yang tidak enak juga mula beratur memasuki diri. Mengikut giliran satu persatu.
Aku sedar, Bobby sengaja meletak racun di dalam makananku untuk membalas dendam setelah apa yang pernah aku lakukan terhadapnya dahulu. Aku tahu dia hanya berpura-pura untuk berbuat baik di depan Norah saja dan aku juga yakin dia tidak pernah atau akan berubah menjadi orang yang lebih baik. Dan sebagai seorang yang tidak pernah mengaku kalah, aku tidak akan berdiam diri. Aku perlu lakukan sesuatu.
Bunyi loceng pintu utama ditekan mematikan semangatku untuk terus mencari jalan menyelesaikan masalah yang rumit ini. Aku bergegas bangun untuk menyambut tetamu yang datang. Mungkin Mak atau Ayah sudah pulang, telahku. Mungkin juga anak-anak jiran yang mengajakku bermain bola di tengahari panas begini. Mungkin jurujual yang ingin menjual barang atau mengutip hutang. Mungkin juga peminta sedekah, pegawai banci ataupun mungkin….
“Norah?” Soalku sebaik membuka daun pintu.
“Hai Alfie. Dah sihat?” Soal anak gadis itu kembali sambil menghulurkan sebotol madu segar. “Minum madu ni dengan air suam, ataupun susu, elok untuk ubat sakit perut…”
“Siapa punya petua ni?”
“Saya cari kat online. Kalau tak mujarab, awak jugak boleh cuba makan katak atau tikus yang masih hidup. Itu petua orang Cina kat daerah Jiangxi di China.”
Aku mencebik, tekak yang sudah sedia ada kembang mula loya kembali. “Eh, masuk, masuk. Baru balik sekolah?”
“A, ah. Bobby kirim salam. Dia tak dapat datang sebab ada latihan sukan petang ni.”
“Ada aku kesah?” Jawabku selamba.
“Alfie…”
“Dia cuba nak racun saya, awak. Lepas je saya makan mee hailam mak dia yang special tu terus perut saya sakit. Entah-entah dia masukkan ubat kurus mak dia jugak!”
“Mana awak tau?”
“Saya agak je…”
“Sebab awak pun pernah buat macam tu, kan?”
“Saya tak adalah kata macam tu tapi macam kebetulan pulak. Dulu saya bagi dia makan, dia sakit perut, sekarang giliran dia pulalah nak kenakan saya. Dendam kesumat kan? Awak ingat Bobby tu baik sangat ke? Dah berubah ke?”
“Alfie, grow up! Saya ingat awak tu yang tak berubah sebenarnya. Awak tau tak betapa besarnya perbezaan di antara kita marah seseorang sebab orang tu bencikan kita dengan kita marah seseorang sebab kita benci orang tu?!”
Aku terdiam lagi. Cuba menelan kata-kata pedas yang disembur itu dengan positif. “Fine! Tapi saya cuma nak tau kenapa awak macam suka sangat nak back up dia sejak akhir-akhir ini. Awak dah lupa awak tu kawan saya? Dulu kita sama-sama gelakkan dia kalau dia kena pukul cikgu atau kena denda, atau kena ulat bulu. Awak dah lupa?”
“Saya tak pernah lupa tu semua, Alfie. Saya nak kawan dengan awak sampai bila-bila dan saya jugak nak kawan dengan dia sampai bila-bila…”
“Kenapa?”
“Sebab saya suka dekat dia!” Bam! Norah memberikan satu jawapan yang pasti tanpa terus berfikir panjang.
Telingaku tiba-tiba terasa bingit bagai dihentak dengan tukul yang besar. Aku nampak wajahnya bertukar menjadi merah menyala apabila ditujah dengan soalan panas itu. Secara jujurnya, aku tidak suka dengan apa yang aku lihat. Aku menelan liur dan bertanya, “betul?” Bagaikan sengaja menempah diri untuk mencari kebenaran dengan apa yang baru didengari.
Norah melepaskan nafas lega. “Ya, dan saya tak mahu kita putus bersahabat sebab saya saya rapat dengan dia.”
“Kenapa tiba-tiba? Ah, nevermind lah,” aku memintas kembali soalan sendiri itu lalu menghulurkan salam.
“Tahniah, saya tahu awak dah boleh buat pilihan yang tepat. I am happy for you…”
Ya, aku berbohong. Masakan aku boleh merasa gembira apabila melihat dara pujaan sendiri jatuh ke tangan orang lain. Ke tangan Bobby pulak tu. Damn! Nampaknya mimpi ngeri kini benar-benar telah menjadi kenyataan.
Leave a comment