Aku pulang ke rumah dengan seribu satu persoalan. Sepanjang berjalan kaki, kepalaku ligat berpusing mencari-cari kebenaran dengan apa yang telah berlaku di dalam kelas tadi. Yang membuatkanku kurang mengerti ialah bagaimana Norah dan Bobby boleh menjadi sahabat sejati dengan sekelip mata. Aku tertanya, apakah bentuk perjanjian berdarah yang telah dimeterai di antara mereka berdua sewaktu Norah datang menziarah budak nakal itu di rumahnya semalam.
Sekembalinya dari waktu rehat tadi, Norah seakan-akan mengabaikan kehadiranku di dalam kelas itu. Aku yang berpura-pura untuk bertanya kepadanya tentang beberapa soalan yang diberi oleh guru tidak langsung diendahkan. Dia banyak berbual dan membantu Bobby menyelesaikan masalah atau jalan kerja yang ditulis di papan hitam. Aku cemburu. Ya, buat pertama kalinya aku mengakui aku benar-benar berasa cemburu dengan makhluk tuhan yang lain. Dan yang paling menyakitkan hati, cemburu itu jatuh kepada makhluk tuhan yang paling aku benci di sekolah itu. Aggh!
Setiba di depan pintu pagar rumah, kelihatan daun pintu utama terbuka luas. Aku melangkah perlahan untuk mengintai siapakah gerangan manusia yang telah memasuki rumahku pada waktu petang yang sunyi begini. Darahku tiba-tiba saja berderau apabila terlihat sekujur tubuh sedang elok terbaring di atas sofa panjang dengan TV yang masih menyala.
“Mak?!” Jeritku sambil menggerak-gerakkan tubuh yang yang sudah tidak bermaya itu.
“Ish! Budak ni, nak apa?” Jerit tuan empunya tubuh yang tidak bermaya itu kembali. “Suka terkejutkan orang, kan?”
Aku tertawa kecil melihat wajahnya yang pucat lesi kerana ketakutan. “Awal balik? Ponteng, ya?”
“Mak ambil separuh harilah. Ada kerja dekat luar tadi lepas tu malas nak masuk pejabat balik. Sudah! Pergi mandi lah, bau stoking masam betul!” Marahnya.
Aku tergelak besar. Stoking yang baru dibuka, aku cuba acukan ke wajahnya. Dia mula menjerit dan ingin mencubit, dan sebelum aku berjaya menyelamatkan diri, aku memeluk tubuhnya yang hangat itu dan memberikannya sebuah ciuman di pipi.
Keluar dari bilik mandi, aku lihat Mak sudah tiada di situ lagi. Aku berlari menuju ke biliknya dan seperti yang telah diduga, dia berada di situ cuba melelapkan mata di atas katil empuknya sendiri. “Mak…” Panggilku dengan perlahan kali ini.
“Apa lagi….” jawabnya dengan nada sedikit geram.
“Mak, Alfie nak tanya ni…”
“Tanya apa?”
“Boleh ke tak seorang kawan tu jadi musuh dengan sekelip mata?”
“Boleh,” jawabnya sepatah.
“Hmmm… kalau macam tu, boleh ke tak seorang musuh tu jadi kawan pula dengan sekelip mata juga?”
“Apa tak boleh pula?” Mak kemudiannya bangun menyandarkan tubuhnya dengan bantal di kepala katil. “Apa masalah ni, Alfie? Siapa yang dah jadi kawan atau yang dah jadi musuh ni?”
Aku melepaskan nafas lalu memandang wajahnya yang bertukar serius itu dengan lemah. “Ada budak jahat dalam kelas Alfie tu dah tiba-tiba jadi baik sekarang. Semua orang macam suka nak berkawan dengan dia termasuk kawan baik Alfie sendiri. Masalahnya Alfie tak suka nak berkawan dengan dia sebab Alfie rasa dia cuma buat-buat saja jadi budak baik tu…”
“Mana Alfie tahu dia buat-buat?”
“Sebab Alfie kenal dia, Mak. Dia memang suka berpura-pura. Yang Alfie tak faham kenapa semua orang macam nak berkawan sangat dengan dia sekarang sampai dia orang boleh pulaukan Alfie sebab Alfie tak nak berkawan dengan dia?”
“Sebab dia orang tu bagi peluang dekat dia untuk berubah, yang anak Mak ni keras hati tak mahu maafkan kesilapan dia tu kenapa? Teruk sangat ke dia dulu?”
Aku terangguk-angguk, “sekarang pun masih teruk lagi Mak. Alfie tau dia tu menipu saja. Dia nak tunjuk baik dekat semua biar orang nampak Alfie pula yang macam jahat.”
“Habis tu? Alfie nak nampak macam orang jahat ke baik?”
“Baiklah Mak. Alfie cuma mahu kawan-kawan Alfie balik. Alfie tak tahu macamana nak yakinkan dia orang yang si budak jahat ni sebenarnya tengah berlakon!”
“Siapa budak jahat tu?”
“Bobby,” jawabku selamba.
“Oh budak tu. Siapa pula kawan-kawan Bobby tu?”
Norah. Mulutku terus terkunci untuk menyebut nama itu. “Adalah. Dua tiga orang…” akhirnya aku terpaksa berbohong.
Mak kemudiannya memberikan satu nasihat. Katanya, jika aku mahu kenal siapa kawan dan siapa lawan, aku harus berada di sisi kawan dan lawan itu. Aku harus fahami mereka dan aku perlu kenali mereka. Rentak aku dengan mereka juga harus seiring. Apabila sudah seiring dan sudah dekat di depan mata barulah corak sebenar seseorang kawan atau lawan itu akan terserlah. Waktu itu, aku punya hak untuk memilih atau membuat andaian sendiri. Terpulang pada mereka sama ada ingin bersetuju dengan apa jua pilihan yang aku buat. Yang pastinya, pilihan itu harus betul dan harus kena dengan rasa hati.
Selesai mengumpul semua data yang keluar dari mulut Mak itu ke dalam kepala, aku terus melangkah masuk ke dalam bilikku sendiri pula. Dengan berlenggeng dan hanya bersarungkan tuala di pinggang, aku campakkan tubuh kecilku ini di atas katil. Aku termenung dan cuba menganalisa kata-kata nasihat yang baru aku dengari tadi. Bak kata Mak, manusia boleh bertukar menjadi manusia yang lain dalam sekelip mata. Mungkin kerana itu kita harus mengenali seseorang manusia itu sedalam-dalamnya sebelum membuat sesuatu pertimbangan. Maksudnya aku perlu menimbang baik dan buruk apa yang aku nampak pada Bobby dan Norah terlebih dahulu.
******************************************************************************
Malam itu kepalaku tiba-tiba saja merasa pening apabila terbau bau-bauan yang kurang menyenangkan yang datang dari masakan Mak. Ada nasi putih yang masih panas, tauhu masak kicap, dan kari daging dengan kentang. Sedap nampaknya tetapi entah kenapa tekak berasa loya apabila melihat hidangan yang berada di depan mata itu. Selama ini aku tidak pernah ada masalah dengan apa jua yang dimasak oleh Mak. Malah tekak ini juga boleh menerima masakan Ayah walaupun kebanyakannya telah di fusion kan. Tetapi malam itu ianya bagaikan menyengat rongga hidung hingga sakit. Aku termuntah sedikit. Ayah pelik melihat aku berlari ke dalam bilik air. Mak yang baru tiba di ruang tamu dengan sambal ikan gorengnya pula turut sama berkerut dahi. “Kenapa?” Jeritnya kuat.
“Kenapa pula ni?” Soal Ayah pula yang waktu itu sudah kusyuk mengunyah makanan.
Aku mengangkat bahu sebaik keluar dari bilik air.
“Ya Allah, Bang. Kita bakal dapat cucu!! Tahniah Alfie!” Balas Mak dengan wajah riang yang penuh mengada-ada.
Ayah ketawa mendengar lawak isterinya yang aku rasakan tidak lucu langsung itu. “Mari makan, Alfie. Siapa nak habiskan lauk ni semua?” Ajaknya dengan menggamit aku untuk kembali duduk di sebelah.
“Tak ada mood lah, Ayah. Alfie tiba-tiba tak ada selera,” jawabku sebelum terus berjalan masuk ke dalam bilik tidur. Sebelum aku sempat menutup pintu, aku terdengar kedua orang tuaku berbisik.
“Awak pergi lah pujuk Alfie tu, Ogy. Dari petang tadi saya tengok dia macam tu. Sengal semacam,” kata Ayah.
“Orang pregnant memang macam tu, Bang. Moody,” dan Mak membalasnya dengan, gurauan manja.
Leave a comment