Kata-kata Adi masih lagi terngiang-ngiang di dalam kepala. Dia melepaskan amarahnya terhadap bapanya sendiri dengan mendera haiwan yang tidak berdosa seperti kucing jalanan itu. Aku tahu dia tertekan dengan masalah yang dihadapi tetapi aku kira perbuatannya itu tidak akan mendatangkan apa-apa keuntungan kepada sesiapapun. Di dalam kelas agama Ustaz Sabri pernah berkata, “Bersyukurlah dengan qada dan qadar. Dugaan yang Allah turunkan itu ada hikmah disebaliknya. Tujuannya hanya satu. Dia mahukan kita manusia sentiasa hidup di dalam kesedaran kerana dari kesedaran itu nanti maka akan timbul rasa kesyukuran di dalam diri. Jadi bersyukurlah.”
Oleh yang sedemikian, aku bersyukur dengan apa jua yang Bobby lakukan terhadap diriku selama ini. Buku latihan Matematiknya telah penuh dengan jawapan-jawapan yang aku perah dari otakku sendiri. Begitu juga dengan karangan Inggeris seperti yang dimahukan oleh Mr. Chua. Telah aku tuliskan juga di dalam buku latihannya walaupun dia tahu tatabahasa Inggerisku sendiri perlukan bantuan dari pelajar yang lain. Kerja rumah bahasa Melayu, aku cedok saja bulat-bulat jawapan yang aku dapat dari buku teks.
Aku memandang ke belakang. Sewaktu aku sedang tekun menyalin kerja amali sains dan sejarah untuknya, dia pula asyik bergembira di meja dan bergurau senda dengan pelajar-pelajar yang lain.
Guru yang sepatutnya masuk mengajar waktu itu ialah Puan Ong, guru Geografi kami yang agak garang. Dia berkacamata tebal dan sering membawa rotan sepanjang satu meter untuk disebat ke atas meja jika dia mendapati ada pelajar yang leka bermain sewaktu dia sedang sibuk mengajar di hadapan. Bahasa Melayunya baku yang disulami dengan beberapa patah perkataan Inggeris jika dia sendiri sukar menyebut patah perkataan Melayu yang tertulis di dalam buku notanya sendiri itu. Dia sering memasuki kelas tepat pada waktunya dan jika ada murid yang tiada di tempat duduk ketika dia mula mengajar, murid itu akan dikenakan denda dengan berdiri di luar kelas sepanjang sesi kelasnya berlangsung.
Kata guru Ali, guru yang mengajar di sekelas sebelah, Puan Ong tidak dapat hadir ke sekolah hari itu. Sebagai ganti, Bobby telah dipilih untuk menjaga kelas sebelum guru yang mengajar matapelajaran berikutnya masuk. Aku kurang mengerti mengapa tiada seorangpun guru ganti yang masuk ke kelas waktu itu. Padaku Bobby sama saja dengan pelajar yang lain. Berlari-larian ke sana sini, melompat seperti beruk kena belacan, dan yang paling menyakitkan hati dia telah menarik aku keluar dari dalam kelas dan membawaku terus ke tandas pelajar lelaki seminit selepas jawatan diberi.
Di situ, dia dan konco-konconya telah memaksaku menanggalkan seluar sebelum menguncikan aku dari luar. Kemudiannya, dia menyangkutkan seluar panjangku jauh di bilik jamban yang lain sebelum dijirusnya sehingga basah. Lama juga aku menjerit seorang diri cuba untuk menagih simpati namun tiada siapa yang datang membantu.
Tiga puluh minit kemudiannya, baru pintu jambanku dibuka. Kelihatan Pak Abu, tukang kebun sekolah sedang bercekak pinggang memadangku dengan wajah yang amat pelik. Aku yang sudah kemerahan menahan malu waktu itu hanya mampu untuk menutup seluar kecil yang masih tersarung di kaki dengan kedua-dua belah tangan.
Dia mengambil seluar sekolahku yang sedang kuyup itu dan membawa aku masuk ke dalam bilik sukan. Di situ, ada beberapa helai pakaian seragam sekolah yang lama yang tersusun di dalam almari. “Nah, pakai ni. Tak elok pakai seluar basah. Nanti esok pulangkan balik,” hulurnya. “Siapa yang buat awak macam ni?”
Aku cuma mendiamkan diri apabila ditujah dengan soalan sebegitu. “Terima kasih, Pak Abu. Balik rumah nanti saya basuh, esok saya pulangkan balik, eh?” Jawabku lain dari yang disoal.
“Siapa nama awak?”
“Alfie.”
“Walaupun tubuh awak tu kecil, awak jangan biarkan orang pijak kepala awak tu sesuka hati, Alfie.”
“Tak adalah, Pak Abu. Kawan-kawan bergurau je ni.”
“Bergurau tu bukan tak boleh tapi kena harus ada batasannya. Pak Abu pantang dengan orang buli-buli kat sekolah ni. Kita jangan tunjukkan sangat kelemahan kita nanti dia orang tu makin menjadi-jadi. Cuba cakap dengan Pak Abu siapa yang buat awak macam ni?”
“Tak apalah, Pak Abu. Saya boleh selesaikan sendiri. Pak Abu tak payah bimbanglah. Saya janji perkara ni tak akan berulang lagi,” jawabku dengan yakin.
Pak Abu hanya tersenyum sinis. Aku tahu dia tahu bahawa kata-kata yang baru didengarinya itu hanya satu pembohongan semata-mata. Lama dia menggeleng, akhirnya dia melepaskan aku pergi. Sebelum jauh aku melangkah, aku berhenti dan berpaling. “Pak Abu jangan beritahu sesiapa ya?”
Dia mengangguk sambil menunjukkan tanda bagus dengan ibu jari.
Di dalam kelas, Bobby hanya berkelakuan seperi biasa. Ramai yang bertanya ke mana aku menghilang dan aku cuma memberi jawapan mudah dengan mengatakan aku berehat di dalam bilik guru. Pening kepala dijadikan alasan. Tiada seorangpun yang mempercayai alasanku itu namun aku langsung tidak ambil peduli. Wajah Bobby yang masih lagi sedang bergembira di meja paling belakang semakin kecil di depan mataku waktu itu. Hatiku mula kuat mengiakan kata-kata Pak Abu tadi. “Walaupun tubuh awak tu kecil, awak jangan biarkan orang pijak kepala awak tu sesuka hati, Alfie.”
Tidak, Pak Abu. Aku tidak membiarkan dia memijak kepala aku lagi, jawab hatiku pula. Aku mula berdiri. Perlahan-lahan berjalan ke belakang menghampiri Bobby yang sedang leka berbual dengan beberapa orang pelajar yang lain. Di tanganku ada beberapa buah buku notanya yang mahu aku kembalikan. Aku telah nekad, aku akan mengoyak-ngoyakkan buku-buku nota itu sebelum menyumbatkan cebisan-cebisan kecil kertas itu ke dalam mulutnya. Aku mahu dia rasakan betapa koyak dan luluhnya hatiku setelah apa yang dilakukannya tadi. Aku mahu dia mengunyah dan menelan keperitan yang aku alami itu. Namun sebaik saja aku tiba di hadapannya, dia bersuara.
“Dah siap homework tu semua?”
“Dah.”
“Thank you. Kau memang the best lah. Nah, cikgu Rajoo ada bagi lagi homework masa kau tak ada dalam kelas tadi. Baca bab lima lepas tu jawab semua soalan yang aku dah salin. Kau tolong siapkan, eh? Esok dia nak semua hantar…”
Aku ambil buku nota itu dan kembali semula ke tempat duduk. Entah kenapa semangat pahlawan Bugis yang meresap di dalam diri tadi boleh tiba-tiba saja hilang. Aku mula mahu rasa menangis. Air mata yang bertakung kerana mengenangkan betapa pengecutnya aku waktu itu dengan segera aku kesat. Aku buka buku nota yang diberi dengan tujuan untuk menyalin semula soalan-soalan kerja rumah yang harus dibuat ke dalam buku notaku sendiri.
Tiba-tiba darahku kembali mengalir laju apabila terlihat satu helaian nota kecil terselit ditengah-tengahnya yang bertulis, “eh Cicakman! Cepat kering seluar kau? Kau pinjam seluar siapa?”
Aku berpaling semula ke belakang. Wajah Bobby yang sedang tertunduk-tunduk ketawa telah bertukar menjadi seekor jin kecil yang bertanduk tiga di dalam mataku waktu itu. Kau panggil aku Cicakman?!!! Kau jangan suka bikin panas sangat Bobby!!! Jerit hati aku sambil tanganku menggenggam penumbuk dengan kuat.
Leave a comment