Ulat bulu itu masih lagi menggigit dedaunan hijau yang tumbuh pada ranting kayu buat santapan makan tengaharinya. Aku leka memerhati dia menggigit dan mengunyah daun itu secara tertib dan teratur. Selesai mengunyah, puluhan kakinya yang kecil mengensot perlahan di atas kulit kayu yang kering itu membawa tubuhnya yang besar barangkali untuk pulang ke sarang. Mata masih lagi tekun mengekori ke mana dia pergi. Satu minit, dua minit, tiga minit, kemudian dia baru ghaib dari pandangan, menyelit di celah-celah lubang yang kecil.
Roti sandwich berintikan kepingan keju dan cebisan ayam yang dipotong kecil yang sudah separuh digigit, dibuang ke dalam longgokan daun kering. Selera tiba-tiba mati bila mengenangkan ulat bulu tadi. Masih lagi ternampak di depan mata bagaimana satu ketika dahulu aku mengutip serangga berbisa itu dan memasukkannya ke dalam kasut sukan Bobby. Kerana tindakan kejam aku itu, dia terpaksa direhatkan di rumah untuk beberapa hari.
Sebelum itu, aku juga pernah memberinya roti sandwich berintikan ubat kurus Mak untuk dimakan. Jika dikenangkan, memang bodoh gurauanku itu kerana ianya bagaikan satu insiden yang hampir meragut nyawanya. Seminggu lalu juga dia dikenakan hukuman atas perbuatanku sekali lagi. Masya Allah, selama ini hanya aku saja yang menganggap dirinya jahat. Bibirku dengan mudah menggelarnya syaitan yang bertopengkan manusia atau pembohong, pencuri, perampas, dan segala gelaran buruk yang lain. Tetapi mengapa hati aku yang putih bersih kononnya ini tidak terfikir langsung bahawa aku juga tiada bezanya?
“Jauh termenung, Alfie?” Tegur Pak Abu yang tiba-tiba muncul dengan penyapu lidinya. Aku mendongak memandang lelaki separuh umur itu. Sudah agak lama kami berdua tidak bersua muka. Aku tersenyum mungkin kerana aku rindu padanya. Aku rindu pada tangannya yang kering berkedut, aku juga rindu pada kulitnya yang perang kehitaman, dan aku lebih rindu pada nasihat dan kata-kata yang keluar dari mulutnya atau dsari celah-celah gigi kuningnya yang sudah separuh reput. “Dari tadi Pak Abu perhati Alfie duduk termenung sorang diri, apa yang Alfie fikirkan?”
“Tak ada apa-apalah. Bosan duduk sorang diri bawah pokok ni. Tak kan nak cakap dengan pokok ni, nanti orang kata Alfie gila pulak!”
“Kita hidup ni jangan terlalu fikirkan apa yang orang nak kata. Kita bukannya boleh tutup mulut orang lain, kan? Apa yang kita fikir dan buat tu yang lebih penting. Tapi kita tak boleh juga biarkan saja kata-kata dan tanggapan orang sebab mungkin ianya berguna kepada kita, betul tak?”
Aku mengangguk bersetuju dengan falsafah yang baru didengar.
“Ada dengar berita pasal Bobby?”
Aku menggeleng. Seingat aku sehari selepas kejadian, nama Bobby diumumkan oleh pengetua di hadapan semua pelajar sewaktu perhimpunan. Katanya, “budak malang” itu telah dibuang sekolah sekaligus melenyapkan impiannya untuk beraksi pada sukan tahunan pada hujung minggu ini.
“Kesian. Muda-muda lagi dah dapat rekod buruk macam tu. Bayangkan lepas ni mesti dia susah nak masuk ke sekolah lain. Silap-silap haribulan dia kena masuk sekolah swasta sebab dah tak ada sekolah kerajaan yang nak ambil dia. Sekolah swasta mahal, tau! Kan dah menyusahkan mak bapak…”
“Tak apalah, Pak Abu. Mak bapak dia banyak duit…”
“Pernah dengar cerita lobak, telur, dan kopi?”
“Tak.” Jawabku sepatah.
Pak Abu menanggalkan kasutnya, menyapu bontot dan duduk di atas kasut itu. Dia memulakan ceritanya, “cuba kita letak ketiga-tiga benda ni dalam air panas. Lobak akan jadi lembik, telur akan jadi keras, dan kopi akan terus larut, kan? Sekarang cuba kita gantikan benda-benda tadi dengan diri kita sendiri, pulak.”
“Maksud Pak Abu, masukkan diri kita dalam air panas?”
“Bukan!” Pak Abu ketawa. “Jadikan persekitaran kat sekolah ni sebagai contoh. Alfie jumpa ramai kawan untuk kutip pengalaman tapi apakah kawan-kawan tu semuanya baik-baik? Atau beri kita pengalaman yang berguna?”
Aku mendengar lagi dengan tekun.
“Untuk itu Alfie diberi pilihan sama ada untuk jadi lembik dan biarkan persekitaran mempengaruhi minda, atau berkeras kerana tidak mahu terikut-ikut dengan persekitaran itu, atau Alfie tak peduli. Larut saja dengan arus persekitaran yang ada.”
“Susahlah nak fikir, Pak Abu. Kan Alfie muda lagi jadi kenalah tanya orang yang banyak pengalaman macam Pak Abu.”
Pak Abu ketawa lagi. “Nak minta nasihat Pak Abu boleh, anytime. Tapi Alfie nak dengar ke? Sanggup?”
“Ish, Pak Abu ni. Sejak bila pula Alfie tak pernah dengar nasihat Pak Abu?”
“Betul, sebab Pak Abu tahu Alfie budak yang baik.”
Aku tersenyum kambing selepas mendengar pujian yang diberi.
“Tapi Pak Abu ada satu lagi nasihat untuk Alfie. Alfie nak dengar?”
“Apa dia?”
“Pak Abu nak Alfie pergi jumpa pengetua sekarang dan ceritakan perkara yang sebenar.”
Aku berdiri, menggosok dahi yang berkerut dan memandang lelaki tua itu dengan pelik. “Cerita sebenar apa lagi ni, Pak Abu?”
“Alfie tahu cerita yang sebenar kan? Pak Abu nampak apa yang Alfie buat dalam kelas sorang diri hari tu.”
Aku mula berpeluh, “apa yang Pak Abu cakap ni? Alfie tak fahamlah!”
“Pak Abu nampak masa Alfie buat kerja tu jadi Pak Abu rasa Alfie faham apa yang Pak Abu cakap.”
Aku tergaru-garu kepala yang tiba-tiba gatal.
“Alfie dah buat silap jadi dengarlah nasihat Pak Abu ni. Mengaku dan memperbaiki kesilapan itu lebih baik dari berdiam diri dan menuding jari kepada orang lain. Cuba Alfie fikir baik-baik, kalau tak kerana tuduhan curi tu Bobby tak akan dibuang sekolah dan Norah pun tak akan jadi apa-apa.”
Sudah seminggu aku cuba melupakan peristiwa pelanggaran di tepi jalan itu. Bagiku, segala-gala yang terjadi adalah tidak disengajakan. Jika Norah tidak ditolak oleh Bobby, tidak mungkin dia akan dilanggar kereta. Jika Norah tidak dilanggar kereta, tidak mungkin Bobby akan dibuang sekolah. Dan jika Bobby tidak dibuang sekolah, tidak mungkin aku akan berada di sini. Kerana apa yang pasti, jika semua itu tidak berlaku, aku mungkin sedang terlantar di hospital akibat kecederaan teruk di kepala atau telahpun menemui ajal dan menunggu malaikat tiba untuk dibicarakan. “Semua yang terjadi tu ada sebabnya, Pak Abu,” kataku.
“Iya, Pak Abu faham,” giliran Pak Abu pula yang memicit dahi. “Sebab dia mudah je, Alfie. Alfie dah jadi kopi. Dah turut sama menyumbang air yang jernih menjadi keruh.”
“Ah! Alfie tak fahamlah apa yang Pak Abu cakap. Peninglah!” Aku beredar meninggalkan tukang kebun itu yang
masih tercegat berdiri di situ.
“Alfie! Alfie budak baik kan? Alfie cuma perlu berterus-terang dan mengaku saja. Alfie tak nak tolong Norah? Bobby? Atau sekurang-kurangnya diri sendiri? Percayalah, bukannya susah menjadi orang yang lebih baik!”
Aku memberhentikan langkah, “dah terlambat!”
“Belum. Lagi cepat sesuatu masalah itu dapat diselesaikan, lagi cepat kita dapat memperbaiki kesilapan sendiri. Pak Abu yakin yang Alfie lebih baik dari itu. Alfie boleh buat kan?”
Aku meneruskan langkah menuju ke kelas dan tidak langsung memperdulikan kata-kata nasihatnya.
******************************************************************************
Di dalam kelas, aku banyak termenung dan berfikir. Tiada satupun benda yang diajar oleh guru masuk ke dalam kepala. Otak lebih banyak bermain dengan emosi, mencari baik buruk nasihat yang didengar dan keputusan yang bakal dibuat. Hati tertanya, perlukah aku berterus terang dan mengaku saja kepada pengetua dengan apa sebenarnya yang terjadi? Atau patutkah aku membiarkan saja ianya terus kekal misteri sampai bila-bila?
Aku memejamkan mata. Sepantas kilat itu juga aku dibawa ke situasi yang berlainan. Di mana ketika itu aku berada di tanah perkuburan, sedang menangisi pemergian Norah. Sauna waktu itu cukup hening dan diselubungi dengan kesedihan dari keluarga, sanak saudara, dan rakan yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir. Kedengaran suara lembut Pak Imam membaca talkin mengingatkan arwah tentang amalannya di dunia yang bakal di bawa sekaligus mengingatkan aku juga tentang amalan-amalan buruk yang sudah terlalu banyak aku kerjakan. Aku benar-benar menyesal kerana tidak sempat untuk menceritakan perkara yang sebenar. Kini dia telah pergi. Norah telah pergi. Kerana aku?
Aku kembali membuka mata dan airmata tiba-tiba saja menitis membasahi pipi. Kelopak yang berair kembali ditutup untuk mengelakkan ianya terus berair. Kemudian, aku dibawa pula ke satu suasana yang lain. Keliling aku dipenuhi oleh jaring-jaring besi dan tembok batu yang tinggi. Aku duduk di atas kerusi menanti seseorang dan tanpa diduga Bobby muncul lima minit selepas itu. Aku menghulurkan salam namun salamanku disambut dengan sebuah pelukan yang erat. “Maafkan aku,” ucapnya dengan suara hiba yang singgah di cuping telinga. Aku terharu dengan ucapan maaf itu dan buat pertama kalinya aku benar-benar mempercayai ayat-ayat yang keluar dari bibirnya. “Maafkan aku juga. Kita sama-sama dah buat silap jadi kita sama-sama patut perbaiki kesilapan dan kelemahan kita, OK?” Kami terus berpelukan dan menenangkan perasaan berdosa masing-masing.
“Alfie, tidur ke?” Tegur Encik Azrel dengan wajah yang serius.
“Tak. Cikgu saya nak jumpa pengetua?”
******************************************************************************
“Apa khabar?” Soalku pada Norah yang terbaring kaku di atas katil itu. Matanya tertutup rapat dan bibirnya juga terkunci, tidak langsung mampu untuk melakukan apa-apa. Aku memandang mesin yang masih menyokong degupan jantungnya. Masih berdegup walaupun perlahan. Air mata kekesalan gugur dengan laju melihat keadaannya begitu. Kata doktor, kecederaan di dalam otak akibat hentakan tempohari telah menyebabkan tubuhnya lumpuh sepenuhnya. Kini dia koma dan kemungkinan besar peluangnya untuk kembali pulih seperti dulu amat tipis. “Saya nak minta maaf banyak-banyak dengan awak. Sebenarnya saya yang masukkan dompet awak dalam beg Bobby. Kalau tak kerana saya, tak mungkin semua ni akan terjadi. Saya dah mengaku depan pengetua tadi dan hasilnya, saya dah digantung sekolah. Betul kata Pak Abu, saya perlu belajar mengaku kesilapan sendiri. Jika tidak sampai bila-bila pun saya akan terus hidup dengan rasa bersalah. Maafkan saya, Norah. Tolonglah bangun, Norah. Maafkan saya. Buka mata awak, Norah. Senyum. Tolong, Norah,” pintaku dan terus-terusan menangis dan berdoa semoga Allah memanjangkan usianya dan mengejutkannya dari tidur yang panjang itu.
Mak dan Ayah yang menjemputku pulang dari sekolah tadi cuba mententeramkan keadaan. Aku benar-benar menyesali dengan segala apa yang telah terjadi. Aku juga sedih kerana telah mengecewakan perasaan mereka berdua. Sesungguhnya kata Pak Abu itu betul. Kemenangan yang sebenar ialah bukan dengan berlawan atau bermusuh tetapi dengan memaafi dan memperbaiki kelemahan diri.
Jari-jemari Norah aku cium sebelum kami berangkat keluar dari situ. Sebelum beredar, aku sempat berdoa semoga satu hari nanti dia akan bangun untuk bersamaku semula. Moga-moga Allah memakbulkan niat murniku itu.
Amin.